KUALA LUMPUR, 19 JANUARI – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberikan jaminan penuh untuk menjunjung kasih titah serta mengambil serius peringatan keras yang disuarakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkaitan isu integriti.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan, dan amalan rasuah adalah perkara yang wajib dihindari dalam tata kelola kementerian dan perkhidmatan.
Beliau menyifatkan peringatan tersebut amat signifikan terutamanya bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan sebuah institusi yang sangat penting dalam negara.
Menurut Khaled, integriti yang tinggi adalah prasyarat utama bagi pasukan keselamatan tersebut kerana ATM memerlukan keyakinan penuh daripada rakyat jelata dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan tanah air. Peringatan Seri Paduka Baginda itu akan dijadikan pegangan utama bagi memastikan kesilapan lampau tidak berulang.
“Jadi kita menjunjung kasih, kita ambil peringatan itu secara serius dan kita akan pastikan supaya ianya jadi pegangan dan tidak berlaku sebagaimana yang kita lalui dalam tahun lepas dan juga tahun ini,” katanya dalam sidang media di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai langkah pencegahan, Khaled menjelaskan bahawa beliau telah pun merangka strategi khusus bagi menangani isu ini lebih awal. Beliau merujuk kepada ucapan Amanat Tahun Baru beliau baru-baru ini yang telah menggariskan pandangan serta pendekatan wajar yang perlu diambil bagi memastikan ketirisan, penyelewengan, dan salah guna kuasa dapat dibendung sepenuhnya.
Langkah proaktif ini dilihat selari dengan ketegasan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang sebelum ini dilaporkan memberi teguran berhubung kepimpinan dan tata kelola dalam pasukan pertahanan.
“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia sampai peringkat tertinggi,
“Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik sarjan sahaja jadi PAT (Panglima Angkatan Tentera),” titah Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Kelima Belas di Dewan Rakyat, hari ini. – airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #MINDEF #IstanaNegara #ATM




