Home Pertahanan dan Keselamatan Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara kali pertama diadakan selepas COVID-19 melanda

Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara kali pertama diadakan selepas COVID-19 melanda

by Ashraf Manaf

KUALA LUMPUR, 18 MEI – Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara yang dilaksanakan pada hari ini merupakan kali pertama diadakan selepas wabak COVID-19 melanda negara.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Markas Divisyen ke-4 Infantri Malaysia (4 Div) dalam satu kenyataan yang menjelaskan kali terakhir istiadat itu dilaksanakan pada 22 Jun 2019.

Menurutnya, istiadat itu dihentikan seketika berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara pada tahun 2020.

“Simbolik istiadat ini adalah pertukaran Pengawal Baru dan Pengawal lama di Istana Negara,” kata kenyataan itu.

Istiadat Pertukaran Pengawal Istana kali ini telah melibatkan pasukan Formasi 12 Briged iaitu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan Pasukan 21 Skuadron Istiadat Berkuda (SIB).

Segak! Kontinjen Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) ketika Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara berlangsung. Foto: Air Times/Ashraff

Seramai 6 pegawai dan 102 anggota lain lain pangkat dari kedua-dua pasukan yang terlibat dalam istiadat itu.

Upacara itu dilaksanakan di hadapan Pintu 1 Istana Negara.

“Istiadat Pertukaran Pengawal Istana ini pertama kali diadakan pada tahun 1959 di antara Pasukan Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) dengan Pasukan Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD),

“Ia mula dipertontonkan kepada orang awam pada tahun 1994 selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-10, Tuanku Ja’afar ibni Tuanku Abdul Rahman.

“Istiadat ini mula diadakan di Istana Negara, Jalan Duta pada tahun 2012 dan pertama kali melibatkan Pasukan 21 Skuadron Istiadat Berkuda Kor Armor Diraja (21 SIB) pada tahun 2015,” kata kenyataan itu.

21 Skuadron Istiadat Berkuda merupakan salah satu elemen Kor Armor Diraja Tentera Darat Malaysia. Foto: Air Times/ Ashraff

Pihak 4 Div menjelaskan penambahbaikan idea istiadat tersebut diperolehi diperolehi selepas Malaysia diberi penghormatan oleh kerajaan British bagi menggantikan pengawal mereka selama tiga bulan untuk mengawal empat kawasan di United Kingdom iaitu Istana Buckingham, Istana St. James, Istana Windsor dan Menara London pada tahun 2008.

Istiadat yang dilaksanakan di Istana Negara pada hari ini dimulakan dengan perbarisan keluar dari Istana Negara oleh detasmen Pasukan 1 RAMD bersama Panji-Panji Batalion serta diiringi oleh Pancaragam Pusat RAMD.

Ia disusuli dengan upacara penyerahan Panji-Panji sebagai simbolik kepada pertukaran pasukan sebagai Pengawal Istana yang baharu sambil disaksikan oleh Pemangku Panglima 12 Briged, Kolonel Awis Ibrahim. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply