KUALA LUMPUR, 18 MEI – Tahap kesedaran masyarakat umum mengenai perihal keselamatan dan pertahanan negara masih lagi rendah.
Perkara tersebut telah dibangkitkan semasa perbincangan Securing the Nation: Addressing Threats Posed by International Intrusions di RAFOC Coffee Talk 3/24 baru-baru ini.
Mengulas perkara tersebut, Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (Retired Armed Forces Officers Association, RAFOC), Leftenan Jeneral Dato’ Sri Abdul Aziz Ibrahim (Bersara) menjelaskan senario tersebut telah lama berlaku dan masih lagi berada di takuk yang sama sehingga hari ini.
“Kita tengok tentang kesedaran keselamatan ini memang tak ada perbezaan banyak daripada dulu sampai sekarang,
“Saya melihat perkara ini masih lagi tidak berubah. Perkara ini pernah dibangkitkan oleh (Allahyarham) Datuk Raja Abdul Rashid Raja Badiozaman di media tempatan satu ketika dahulu,
“Beliau ketika itu merupakan Pengarah Perisikan Pertahanan ketika itu,” katanya kepada Air Times.
Abdul Aziz tidak menolak perkara ini berlaku atas sikap sesetengah pihak yang masih tidak mengambil berat mengenai isu keselamatan dan pertahanan negara.
Beliau menyatakan, tindakan balas terhadap sesuatu perkara melibatkan hal keselamatan lazimnya dibuat melalui pendekatan secara reaksi (reacting).
“Apa yang saya lihat, kita secara umum lebih menggunakan pendekatan reacting – iaitu bertindak balas sekiranya sesuatu perkara berlaku,” ujar beliau.
Jelas Presiden RAFOC, perkara ini boleh diatasi dengan mengambil pelbagai langkah termasuk menanam kesedaran di kalangan generasi muda.
“Perkara ini nak perlu dibuat daripada awal, dari bangku sekolah lagi. Kita kena terapkan perkara ini dari bangku sekolah sehinggalah mereka ke pengajian tinggi., tempat-tempat pekerjaan dan sebagainya,
“Usaha ini perlu dibuat secara skala besar dan dilakukan secara serius,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #Keselamatan