Home Semasa Tindakan 12 menteri PN, Muhyiddin berniat aibkan Ismail Sabri – Zahid Hamidi

Tindakan 12 menteri PN, Muhyiddin berniat aibkan Ismail Sabri – Zahid Hamidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong adalah punca tercetusnya isu ketidakpercayaan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden UMNO itu berkata, perkara berkenaan boleh dibincangkan dalam Kabinet tanpa perlu terus kepada Istana Negara dan dihebahkan pula kepada awam.

“Hari ini Mahiaddin Yassin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menafikan tindak-tanduk kelompok mereka menyebabkan Perdana Menteri terpaksa membubarkan Parlimen,

“Sedangkan Perdana Menteri menegaskan tindakan 12 menteri bersikap tidak wajar mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri lantikan Baginda Yang di-Pertuan Agong,

“Malah mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan yang menyebabkan baginda menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air,

“Ternyata tindakan ini adalah niat jahat musuh Barisan Nasional (BN) untuk mengaibkan Perdana Menteri dari BN,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri boleh saja memecat 12 menteri terbabit namun ia hanya akan membawa krisis yang lebih besar, parah dan memalukan pentadbiran negara.

“Ia juga akan membabitkan undi tidak percaya dan sebagainya. Maka, jalan terbaik untuk berdepan dengan kerenah ahli Kabinet tidak berdisiplin ini ialah Perdana Menteri pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen,

“Ini sesuai juga bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, yang sebelum ini ramai yang melompat parti, menjawab cabaran Muhyiddin untuk bubar Parlimen, dan memastikan kestabilan politik serta pemulihan ekonomi negara tidak terganggu pada masa akan datang,” ujarnya.

Jelasnya, di sebalik penafian Muhyiddin, partinya juga menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri selain mendedahkan perjanjian persefahaman beliau.

“Sedangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah ada jawatan Menteri Kanan, menteri-menteri dan jawatan GLC.,

“Tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri terbabit tidak sensitif dengan situasi pemulihan ekonomi negara dan dasar jimat cermat negara,

“Sebaliknya BERSATU asyik memikirkan mengenai jawatan, pangkat dan kedudukan saja,” tegasnya.

Sementara itu, beliau berkata, Muhyiddin juga pernah mengancam untuk menekan ‘butang’ menarik sokongan terhadap kepimpinan Ismail Sabri.

“Kali kedua, apabila secara terbuka Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyatakan Perdana Menteri gagal menguruskan negara dan ekonomi dengan baik,

“Sedangkan beliau sendiri Pengerusi MPN, pemimpin BERSATU sendiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi,

“Malah Muhyiddin menyarankan agar Parlimen dibubarkan atas kegagalan itu. Kata beliau lagi perlu ada kerajaan baharu yang lebih cekap. Namun Muhyiddin cuba menafikan kenyataannya sendiri,” ujarnya.

Tambah Zahid Hamidi, ternyata dalam tempoh tidak sampai 5 tahun, akibat ketidakstabilan politik sudah terdapat 3 Perdana Menteri bertukar ganti.

“Semoga tragedi politik ini tidak berulang kembali dan perlu diingati selama-lamanya oleh rakyat jelata, sedangkan rakyat sangat mahukan kerajaan yang stabil dan harmoni,

“Insya-Allah apabila BN mendapat mandat besar dan kembali menerajui kerajaan perkara ini tidak akan berlaku. Hal ini kerana BN adalah pembawa kestabilan dan kemakmuran negara!” jelasnya.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Perdana Menteri menyalahkan beliau dan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) sebagai punca diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, Perdana Menteri tidak sepatutnya menyalahkan sesiapa berhubung perkara itu, sebaliknya perlu bertanggungjawab terhadap apa yang sudah dilakukan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply