Home Politik Bubar Parlimen: Rakyat tahu alasan sebenar Ismail Sabri mahu adakan PRU15

Bubar Parlimen: Rakyat tahu alasan sebenar Ismail Sabri mahu adakan PRU15

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, rakyat mengetahui alasan sebenar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Namun beliau berkata, ia tidak lain adalah berpunca daripada tekanan dan desakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Justeru Perdana Menteri usahlah mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapinya itu,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.

Saifuddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ismail Sabri yang mengaitkan pembubaran Parlimen dengan surat yang dipersembahkan oleh 12 orang Menteri PN kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya ingin menjelaskan bahawa surat tersebut hanyalah bertujuan bagi menyuarakan kebimbangan rakyat agar PRU15 tidak dilaksanakan dalam musim tengkujuh di mana berkemungkinan berlaku banjir,

“Sebaliknya pada masa ini, rakyat mahu kerajaan memberi sepenuh tumpuan kepada langkah-langkah pemulihan ekonomi, mengawal kenaikan harga barang dan menyediakan peluang pekerjaan,” ujarnya.

Menurutnya, PN akan terus mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.

“Ini merupakan antara sebab mengapa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Skuad Prihatin Nasional khusus untuk berdepan bencana banjir semasa Majlis Pelancaran Jentera PN Pahang baru-baru ini,” jelasnya.

Semalam, Ismail Sabri berkata, tindakan Menteri PN yang mengutus surat itu telah mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply