MUAR, 12 Okt – Polis Muar telah menahan seorang lelaki tempatan disyaki tekong darat bersama 6 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam serbuan di Parit Amat Laut, Parit Jawa pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Operasi Pintas Bersepadu berkenaan dilakukan Pasukan Unit Risik Marin Wilayah 2 bersama Task Force Bahagian Siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri ke atas sebuah kenderaan pada jam 10 malam.
“Suspek berusia 39 tahun itu dipercayai bertindak sebagai tekong dan terbabit dengan penyeludupan migran,
“Tangkapan turut dilakukan terhadap 4 orang lelaki dan 2 orang wanita warga Indonesia berumur lingkungan 25 hingga 59 tahun yang didapati tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut Raiz, kesemua PATI berkenaan dipercayai baru sahaja sampai ke daratan dengan menaiki bot dari Indonesia.
“Kesemua mereka ditahan ketika pasukan operasi sedang melakukan rondaan menyedari terdapat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
“Sebuah kereta Nissan Sentra turut dirampas dalam serbuan berkenaan bagi tujuan siasatan,” tambahnya.
Raiz menjelaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam masa yang sama, Raiz menggalakkan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan mahupun sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui Bilik Gerakan IPD Muar di talian 06-9526001. -airtimes.my