KUALA LUMPUR, 22 Nov – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan kesemua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menghadap di Istana Negara, esok.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, sesi menghadap secara individu ini dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi 23 November di Istana Negara.
“Proses ini adalah bertujuan supaya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Menurut beliau, sesi ini adalah lanjutan kepada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.
Pada masa yang sama, Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri ke-10 selesai. – airtimes.my