KUALA LUMPUR, 24 Nov – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayutuddin al Mustafa Billah Shah hari ini bertitah dan berpesan agar rakyat diberikan perhatian oleh kerajaan baharu kelak.
“Seri Paduka Baginda berpesan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk,
“Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada berkesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Menurut beliau, Agong turut bertitah agar para ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat untuk mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.
“Seri Paduka Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kala semua,
“Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Al Sultan Abdullah turut bertitah bahawa negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.
“Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ianya bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negera terus ke mercu kejayaan,” titah Baginda.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk menghadiri Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Perbincangan khas ini diadakan bagi membolehkan Agong untuk mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung pemilihan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan baharu.
Setelah selesai perbincangan, Al Sultan Abdullah telah berkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10. – airtimes.my