Home Semasa Nak tahu keabsahan, undi percaya usul pertama di Parlimen nanti – Anwar Ibrahim

Nak tahu keabsahan, undi percaya usul pertama di Parlimen nanti – Anwar Ibrahim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Sidang Parlimen yang akan berlangsung pada 19 Disember depan akan dimulakan dengan usul undi percaya kepadanya.

Dalam sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri, Anwar menjelaskan usul pertama itu akan dibawanya sendiri oleh kerajaan.

Beliau berkata demikian selepas Perikatan Nasional (PN) hari ini meragui keabsahan jumlah sokongan yang diterimanya.

“Kenyataan Pengerusi PN (Muhyiddin Yassin) untuk mempertikaikan keabsahan, saya ingin jelaskan di sini kita tetapkan sidang parlimen pada 19 haribulan,

“Usul pertama adalah daripada kerajaan iaitu undi percaya kepada saya,” katanya.

Jelasnya, langkah ini dibuat bagi menjawab keresahan mengenai keabsahan kerajaan perpaduan yang dihadapi ketika ini.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan, kestabilan kerajaan perpaduan sekarang kini berteraskan 3 gabungan terbesar iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan perpaduan ini turut disertai Warisan, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan tidak menolak kemungkinan penyertaan parti-parti yang lain.

“Maka dengan jumlah induk ini, PH kekal sebagai blok terbesar dalam Parlimen, diikuti BN dengan jumlah 30 dan GPS (22). Saya dapat pengesahan dari Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg bahawa mereka bersama dalam kerajaan perpaduan ini,

“Selaku Perdana Menteri seluruh rakyat, mewakili semua kaum dan menjamin keharmonian negara ini, saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain untuk menjadikan negara ini bersatu,”ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply