KUALA LUMPUR, 23 OGOS – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan operasi dan pengurusannya ditadbir urus dan dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan pengurusan Bumiputera Muslim.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad berkata, penubuhan TH adalah khusus untuk membantu umat Islam Malaysia menabung dan menyempurnakan simpanan bagi tujuan menunaikan ibadat haji.
“Pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang 100 peratus Bumiputera Muslim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan inisiatif penjenamaan yang sedang dijalankan, memerlukan pelbagai sokongan teknikal daripada konsortium yang dibentuk oleh TH bagi memperkukuhkan strategi operasi serta jenama.
“TH perlu menjadi sebuah institusi simpanan yang berpaksikan pelanggan. Ini memerlukan evolusi strategi operasi dan penjenamaan yang relevan, efektif serta sesuai dengan perubahan demografi yang dinamik,” jelasnya.
Mustakim turut menekankan kos menunaikan haji yang semakin meningkat, sedangkan kadar simpanan pendeposit tidak berkembang.
“Kebanyakan pendeposit tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk mengerjakan ibadat haji,” ujarnya.
Sehubungan itu, TH melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan peranannya sebagai institusi simpanan Islam supaya umat Islam terus menabung secara sistematik dan konsisten.
“Bagi mencapai matlamat ini, TH memerlukan kepakaran teknikal yang bersesuaian, sebagaimana amalan yang dapat dilihat dalam sejarah Islam,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha tersebut adalah sebahagian daripada langkah memperkukuhkan semula peranan TH sebagai institusi simpanan Islam yang dihormati.
Sementara itu, mengulas hantaran video, provokasi dan tuduhan yang dilemparkan terhadap organisasi itu baru-baru ini, Mustakim menggesa orang ramai agar tidak mudah mempercayai maklumat yang tidak sahih dan menimbulkan sebarang kekeliruan.
TH, katanya, telah membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), selain memandang serius terhadap perkara tersebut.
“TH sedang melaksanakan pemantauan rapat terhadap sebarang hantaran di media sosial, sama ada berbentuk video atau penulisan, yang cuba menghasut masyarakat dengan maklumat tidak benar dan boleh mencemarkan imej TH,” tegasnya.
Beliau menambah, TH juga memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang cuba menyebarkan hantaran berunsur hasutan mengikut undang-undang. -airtimes.my
#Airtimes #TabungHaji #Islam #Malaysia





