KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan bahawa perolehan aset baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak dilakukan secara ad hoc atau sementara, sebaliknya dirancang secara teliti selari dengan Pelan Transformasi 15-to-5 dan keperluan strategik keselamatan maritim negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua perolehan aset TLDM dilaksanakan berdasarkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang menjadi dokumen utama dalam merangka pembangunan Angkatan Masa Hadapan (AMH) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Bagi tempoh 2020 hingga 2030, perancangan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Pelan Transformasi 15-to-5 dengan pembangunan aset maritim baharu termasuk lima buah Littoral Combat Ship (LCS),
“Termasuk juga tiga buah Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2), dua buah Multi Role Support Ship (MRSS), tiga buah Littoral Mission Ship Batch 3 (LMSB3) dan empat buah helikopter Anti-Submarine Warfare (ASW),” jelas beliau dalam jawapan bertulis pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Selain itu, TLDM turut menjangka perolehan sebuah kapal Multi Purpose Command Platform (MPCP) yang didaftarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 melalui projek Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Kapal ini akan menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah yang dijadualkan untuk dilupuskan pada pertengahan tahun 2026.
“Dalam masa sama, TLDM turut dalam proses memperoleh aset tanpa pemandu (unmanned) sebagai Force Multiplier untuk meningkatkan keberkesanan operasi di kawasan strategik yang penting kepada keselamatan negara,” jelasnya lagi.
Khaled Nordin turut menambah bahawa setiap perolehan aset TLDM melalui proses penilaian keperluan dan pembangunan spesifikasi secara terperinci agar sejajar dengan keperluan operasi TLDM serta pelan transformasi yang telah digariskan.
Selain itu, setiap rancangan perolehan perlu mendapat kelulusan Lembaga Pengurusan Keupayaan TLDM. Ia kemudian disemak di peringkat Jawatankuasa Pemampan ATM yang menilai aspek kebersamaan dan kebolehoperasian antara aset bagi keseluruhan angkatan.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan pembangunan keupayaan yang dirancang bukan sahaja memenuhi keperluan operasi TLDM, malah turut memberi kesan positif kepada kekuatan dan kesiapsiagaan ATM secara keseluruhannya,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, Mohamed Khaled menegaskan bahawa kesinambungan setiap perolehan aset TLDM dan ATM tidak dibuat secara tergesa-gesa.
“MINDEF menegaskan bahawa kesinambungan setiap perolehan aset TLDM khususnya dan ATM amnya adalah melalui perancangan yang teliti dan terperinci serta tidak dilaksanakan secara ad hoc ataupun tidak selari dengan perancangan yang telah ditetapkan,” tegasnya lagi.-airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #ATM #TLDM #15to5 #Maritim #Parlimen
