Fenomena bendera terbalik nampaknya semakin berjangkit. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, laporan mengenai Jalur Gemilang yang dikibarkan secara songsang semakin kerap muncul di media sosial mahupun portal berita. Ada yang menuding jari kepada kecuaian pemasang, ada pula yang berbisik ia dilakukan sengaja untuk kepentingan politik.
Walau apa pun alasannya, tindakan itu menimbulkan rasa kurang senang memandangkan Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna-warni, sebaliknya lambang kedaulatan negara yang diperoleh melalui pertumpahan darah dan air mata pejuang kemerdekaan.
Bendera merupakan lambang negara yang mempunyai peranan yang besar. Dalam konteks Malaysia, Jalur Gemilang menjadi penzahiran prinsip kesetiaan kepada raja dan negara yang merupakan prinsip kedua Rukun Negara. Bendera Malaysia bukan sahaja lambang kedaulatan dan patriotisme yang melahirkan rasa bangga dan megah terhadap negara, malah merupakan identiti rasmi bagi tanah air berdaulat.
Bagi sesetengah orang, isu Jalur Gemilang dikibar terbalik mungkin kelihatan seakan isu remeh, hanya kesalahan teknikal ketika mengikat tali atau memasang bendera. Namun, dalam konteks simbolik, bendera terbalik membawa maksud yang jauh lebih besar. Di sinilah timbul persoalan, adakah bendera kini sekadar kain yang boleh dibolak-balikkan sesuka hati, atau kita sedang membenarkan luka yang lebih dalam menggores maruah bangsa?

Jalur Gemilang dikibar terbalik sering ditafsirkan sebagai tanda protes atau isyarat kecemasan bahawa negara sedang berada dalam krisis (FOTO: HIASAN)
Makna asal di sebalik bendera songsang
Sejarah mencatatkan bendera yang dikibarkan secara terbalik bukanlah sekadar gurauan atau kelalaian. Dalam tradisi maritim dan peperangan, ia digunakan sebagai tanda kecemasan melalui isyarat ‘SOS’ yang memberi gambaran sebuah kapal atau tempat berada dalam bahaya. Ia adalah bahasa universal yang memberi amaran kepada dunia luar bahawa sesuatu sedang tidak kena.
Apabila simbol ini dipindahkan ke dalam konteks kenegaraan, ia mengundang implikasi yang lebih mendalam. Bendera negara yang dikibarkan songsang seakan-akan menyampaikan mesej bahawa negara itu sendiri berada dalam krisis.
Justeru, ia tidak lagi boleh dilihat sebagai kesalahan teknikal semata-mata. Bendera dilihat sebagai lambang kepimpinan, penghormatan, maruah serta kedaulatan sesebuah negara. Takrif ini seiring dengan peranan besar yang dimainkan bendera sejak zaman awal peradaban manusia, termasuk dalam sejarah Tamadun Islam.
Dalam sejarah Islam, bendera sentiasa menjadi lambang kekuatan dan penyatuan umat. Semasa Fathu Makkah, Rasulullah SAW diceritakan masuk ke kota Makkah dengan membawa bendera putih. Sirah ini kemudiannya disokong oleh riwayat lain seperti riwayat al-Baihaqi dan riwayat al-Tabarani. Begitu juga dalam penaklukan Kota Konstantinopel pada 1453, Sultan Muhammad al-Fatih mengibarkan bendera Uthmaniyyah di tembok kota sebagai tanda kemenangan.
Semua peristiwa ini mengingatkan kita bahawa bendera adalah penzahiran semangat perjuangan, maruah dan penyatuan umat. Jalur Gemilang yang kita kenal hari ini lahir daripada darah, keringat dan air mata generasi yang menuntut kebebasan daripada penjajahan. Maka, apabila ia dikibarkan songsang, mesej yang sampai bukanlah remeh, sebaliknya, ia mencalar simbol pengorbanan yang dibina atas derita sejarah.
Oleh yang demikian, tindakan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik dilihat sebagai sesuatu yang mencabar sensitiviti nasional. Ia memberi kesan psikologi seolah-olah negara ini sedang ditolak daripada asas maruahnya sendiri.

Segelintir pihak kerap menjadikan faktor teknikal atau pekerja berstatus OKU sebagai alasan bendera dipasang terbalik. (FOTO HIASAN)
Protes atau penghinaan?
Sementara itu, di era politik moden, simbol tidak lagi dilihat secara tunggal. Bendera terbalik kini sering dijadikan alat polemik, terutamanya dalam konteks ketidakpuasan hati terhadap kerajaan atau situasi negara. Ada pihak yang sengaja melakukannya sebagai tanda protes, menyampaikan mesej bahawa negara sedang “dalam bahaya” kerana kelemahan kepimpinan.
Namun, tindakan ini membuka ruang tafsiran yang bercampur-aduk. Ada yang menyifatkannya sebagai bentuk kebebasan bersuara, tetapi ada juga yang melihatnya sebagai penghinaan langsung terhadap negara. Perbezaan tafsiran inilah yang menjadikan isu ini rumit. Apabila simbol negara dijadikan medan pergelutan politik, kesannya ialah perpecahan emosi dalam kalangan rakyat.
Selanjutnya, persoalan besar yang timbul ialah adakah bendera terbalik tanda kecintaan yang marah, atau tanda kebencian yang menghina? Bagi sebahagian rakyat, ia dianggap sebagai isyarat protes kerana mereka merasa tidak ada lagi ruang untuk bersuara secara biasa. Namun bagi yang lain, ia adalah perbuatan tidak patriotik yang merendahkan maruah bangsa.
Di sinilah terletaknya garis nipis yang sering kabur. Apabila maruah negara dipolitikkan, ia tidak lagi berdiri sebagai milik bersama, sebaliknya ditarik ke dalam kancah perebutan kuasa. Bahayanya, ia boleh menghakis rasa hormat terhadap bendera itu sendiri, menjadikannya tidak lebih daripada alat retorik politik.
Dalam dunia yang sarat dengan simbolisme, imej bendera terbalik di media sosial dengan cepat menjadi bahan viral. Setiap kali ia berlaku, masyarakat berpecah dua, antara mereka yang melihatnya sebagai kecuaian dan mereka yang menuduhnya sebagai protes terancang. Naratif bercampur-baur inilah yang menjadikan isu bendera terbalik begitu sensitif dan tidak pernah habis dibicarakan. Namun apabila terlalu kerap isu berkenaan “ditunggang”, ia secara tidak langsung dinormalisasi dalam kalangan masyarakat.
Akibatnya, rakyat semakin terbiasa melihat Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik, ia boleh melunturkan makna sakral atau ‘unsur suci’ yang selama ini dipertahankan. Akhirnya, bendera tidak lagi dilihat sebagai lambang kedaulatan, sebaliknya hanya sehelai kain tidak bermakna.
Menjaga Jalur Gemilang, menjaga jiwa bangsa
Jalur Gemilang adalah jiwa bangsa. Ia menyatukan rakyat yang berbeza kaum, agama dan latar belakang di bawah satu identiti. Setiap kali ia berkibar, rakyat diingatkan bahawa tanah air ini berdiri atas pengorbanan yang bukan sedikit. Oleh yang demikian, bendera tidak boleh dijadikan bahan permainan politik, apatah lagi dijadikan medium penghinaan. Tambahan lagi, menjadikannya bahan polemik politik adalah langkah berbahaya kerana ia boleh mengikis nilai kebersamaan yang dibina sejak merdeka.
Rakyat boleh berbeza pendapat, boleh bersuara lantang terhadap kepincangan, namun jangan sampai simbol tertinggi negara dijadikan taruhan dalam permainan politik. Jika Jalur Gemilang sendiri dibiarkan menjadi alat perpecahan, maka yang dikhianati bukan sekadar kain tiga warna, tetapi juga maruah bangsa yang terikat padanya. Persoalan akhirnya, adakah kita mahu Jalur Gemilang, lambang kedaulatan dan pengorbanan nenek moyang kita, kekal menjadi simbol penyatuan atau rela ia terus dijadikan senjata perpecahan? -airtimes.my
#diskusi #bendera #airtimes #perpaduan #benderaterbalik
