Home Pertahanan dan Keselamatan Kolumnis: Mengapa kerajaan tidak mahu beli helikopter baharu jika mampu sewa

Kolumnis: Mengapa kerajaan tidak mahu beli helikopter baharu jika mampu sewa

A+A-
Reset

Perolehan helikopter baharu untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) kembali menjadi tumpuan apabila kontrak mendapatkan aset tersebut secara sewaan kini dibatalkan.

Panglima Angkatan Tentera,  Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, keputusan itu dibuat bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya cadangan pembelian helikopter Black Hawk dibatalkan.

Pada Sabtu lalu, Seri Paduka menitahkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) supaya membatalkan cadangan pembelian helikopter berkenaan yang telah berusia lebih 30 tahun.

Sebagai pemerintah tertinggi ATM, Sultan Ibrahim mengingatkan MINDEF untuk tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu yang membeli pesawat terpakai dan berusia.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah agar MINDEF membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang sudah berusia lebih 30 tahun dan tidak mengulangi kesilapan lalu. Foto: AirTimes

Tawaran kontrak sewaan empat buah helikopter utiliti ini dibuka dalam tempoh kira-kira sembilan bulan selepas kontrak terdahulu dibatalkan.

Nilai tawaran kontrak baharu pula adalah sebanyak RM185 juta.

Sepertimana diketahui umum, MINDEF pada November tahun lalu membatalkan kontrak helikopter Sikorsky UH-60+ Black Hawk secara sewaan yang diberi kepada syarikat Aerotree Defence and Services Sdn. Bhd. (Aerotree).

Ini setelah Aerotree gagal memenuhi tarikh akhir penghantaran helikopter yang ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober tahun itu.

Mengikut perjanjian sepatutnya helikopter pertama untuk kontrak sewaan bernilai RM187 juta dihantar pada November 2023, tetapi tarikh akhir itu ditunda ke April 2024.

Sebagai pengganti, TDM akan menerima 4 helikopter AW149 sebagai sebahagian daripada pembelian 28 unit helikopter secara pajakan oleh kerajaan, walaupun penghantaran dijangka pada tahun 2027.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilaporkan berkata, perolehan ini merupakan sebahagian daripada usaha menutup jurang keupayaan dalam pengangkutan udara yang dihadapi TDM ketika ini.

Bagaimana pun, TDM dikatakan masih berhasrat untuk mendapatkan helikopter Black Hawk memandangkan ciri-ciri dan keupayaan helikopter itu menepati kehendak operasi.

Memandangkan tempoh 2027 masih berbaki dua tahun, jadi terlalu awal untuk menjangka sama ada TDM menolak atau tidak helikopter AW149 apabila diterima kelak.

Semasa pengumuman perolehan sewaan helikopter Black Hawk ini dibuat bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain pada Mac 2023, ia membayangkan evolusi keupayaan udara TDM.

Tegas Zamrose ketika itu, perolehan helikopter Black Hawk ini adalah berdasarkan kehendak dan keperluan yang disuarakan oleh warga PUTD.

Justeru, apabila tawaran kontrak baharu dikeluarkan MINDEF tanpa memperincikan jenis pesawat, umum membayangkan Black Hawk sebagai pilihan dikehendaki TDM.

Tambahan pula Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan pada Mac lalu memaklumkan MINDEF merancang untuk membuka semula tender kontrak sewaan helikopter Black Hawk TDM pada masa hadapan.

3 orang juruterbang Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan seorang dari syarikat AEROTREE telah melaksanakan Program Latihan Kajian Bawah (Ground School) dan Latihan Simulator Sikorsky UH-60A Black Hawk di Ankara, Turkiye. Foto: PUTD

TDM juga telah pun menghantar juruterbang dan kru teknikal mengikuti kursus persediaan mengendalikan helikopter Black Hawk.

Isu yang diperkatakan dalam kalangan pemerhati pertahanan tempatan ketika ini ialah mengapa kerajaan tidak memutuskan untuk membeli helikopter baharu Black Hawk jika mampu mengeluarkan peruntukan untuk sewa.

Walaupun semasa isu pajakan 28 buah helikopter Leonardo kerajaan telah menerangkan perkara ini secara panjang lebar, namun ia dilihat berbeza apabila MINDEF memilih untuk menyewa helikopter bagi PUTD.

Melalui pajakan, ATM tidak menerima helikopter secara cepat tetapi masih melalui proses seolah-olah sama seperti membeli pesawat baharu.

Ini kerana jika helikopter terpakai, pesawat masih perlu melalui fasa pembaikan, penyelenggaraan penuh dan naik taraf sistem-sistem yang difikirkan perlu kepada pengguna.

Seperkara lagi yang ketara ialah memiliki helikopter baharu tidak sama dengan menggunakan helikopter terpakai walaupun telah dinaik taraf.

Jadi, sewa atau beli ia tetap mempunyai tempoh tertentu sebelum helikopter diserahkan oleh pembekal kepada PUTD.

Alasan kerajaan sebelum ini bahawa langkah pajakan lebih kepada pengurangan beban kewangan awal, keperluan fleksibel serta keperluan segera sementara menunggu proses pembelian G2G yang rumit dan panjang sebenarnya boleh dipersoalkan.

Dalam model sewaan, kontraktor diwajibkan memastikan aset berada dalam keadaan operasi sekurang-kurangnya 85% sepanjang tempoh kontrak.

Persoalannya, sekiranya kerajaan membeli helikopter secara rundingan terus G2G dengan negara pembekal, adakah syarat sedemikian tidak boleh dikemukakan?

Firma pembekal pesawat pasti bersedia untuk membuka ruang perbincangan bagi mencapai kata sepakat yang bersifat menang-menang kepada pihak masing-masing.

Dalam isu cadangan perolehan helikopter TDM, jika model Black Hawk telah dikenal pasti sebagai pilihan, diyakini proses perbincangan untuk memuktamadkan keputusan tidak memakan masa panjang.

Ini kerana pihak TDM semestinya telah mempunyai maklumat serta apakah spesifikasi pada helikopter Black Hawk yang diinginkan.

ATM dengan pengalaman sebagai pengguna helikopter buatan Sikorsky sejak lebih 50 tahun lalu melalui pesawat Nuri juga pasti sudah arif dengan corak pesawat buatan Amerika Syarikat.

Ia termasuklah urusan perolehan komponen dan alat ganti, penyelenggaraan jangka panjang, latihan serta lain-lain kerjasama industri.

Kelebihan membeli pula memberi peluang kepada negara meletakkan syarat untuk mendapatkan pemindahan teknologi bersesuaian dan kerjasama industri pertahanan khususnya yang berkaitan dengan pesawat dibeli.

Jika sewaan ini dikatakan hanya langkah sementara sebelum helikopter sebenar dibeli ATM, sepatutnya keputusan untuk membeli pesawat yang diingini telah lama diputuskan.

Andaikan jika kerajaan telah bersetuju untuk membeli sekurang-kurangnya lapan atau 12 buah helikopter Black Hawk tidak lama selepas kontrak sewaan diputuskan pada 2023.

Mungkin helikopter Black Hawk baharu ini telah siap dibina di kilang dan diterima TDM pada tahun hadapan.

Secara relatifnya harga pesawat baharu lebih mahal tetapi kelengkapan yang diterima sarat dengan teknologi terkini berbanding terpakai.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #Malaysia #aset #helikopter

 

 

Leave a Reply