KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Malaysia, selaku ketua Pasukan Pemerhati Interim (IOT), memainkan peranan penting dalam menyiasat ketelusan pelaksanaan gencatan senjata di sempadan Thailand dan Kemboja.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, hasil siasatan pasukan tersebut akan dimaklumkan kepada kedua-dua negara bagi memastikan komitmen terhadap perjanjian tersebut dipatuhi.
“Kita menerima laporan daripada kedua-dua negara bahawa berlaku beberapa pelanggaran gencatan senjata, yang ini kita ambil laporan tersebut dan pasukan di lapangan akan buat siasatan…matlamat dan tugas utama kita adalah memastikan gencatan senjata berjalan dengan telus dan lancar,
“Kita juga meminta Thailand dan Kemboja untuk berhubung dengan Kumpulan Tindakan Bersama daripada kedua-dua negara termasuk bahagian perundangan dan sebagainya,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 di Lapang Sasar, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Thailand dan Kemboja sebelum ini bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata secara ketat di sepanjang sempadan, selain mengelakkan sebarang tindakan provokatif.
Persetujuan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Menurut Minit Mesyuarat yang Dipersetujui, kedua-dua pihak mesti mengelakkan sebarang tembakan tanpa provokasi ke arah kedudukan atau anggota tentera pihak lain yang boleh mencetuskan ketegangan.
Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata, IOT ketika ini mengadakan pertemuan dengan wakil kedua-dua negara sekurang-kurangnya dua kali seminggu bagi memantau dan melaporkan perkembangan semasa.
Beliau berkata Malaysia juga sentiasa bersedia untuk menghantar wakil di peringkat selanjutnya selepas IOT iaitu Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN (AOT) bagi kedua-dua negara berkenaan.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #Malaysia #sempadanam #Thailand #kemboja


