KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Malaysia bersedia menghantar pasukan tentera pengaman ke kawasan bergolak di sempadan Thailand dan Kemboja sekiranya diminta oleh kedua-dua negara terbabit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkata, kesemua pemimpin negara ASEAN juga menyatakan kesediaan menghantar pasukan pengaman masing-masing jika diminta oleh kerajaan Thailand dan Kemboja dalam usaha meredakan ketegangan di wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk menghantar pasukan pengaman kerana situasi semasa masih terkawal.
“Kita telah beri tahu, bahawa Malaysia bersedia menghantar dan dalam rundingan bersama Ketua-Ketua ASEAN, semua sepakat jika diminta oleh kedua-dua negara,
“Sekarang ini keadaan terkawal, satelit dapat memantau, atase-atase pertahanan hadir dalam mesyuarat yang diselaraskan oleh Malaysia,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menambah, setakat ini permintaan yang diterima daripada kerajaan Thailand dan Kemboja hanyalah agar Malaysia menyelaraskan rundingan damai antara kedua-dua pihak.
“Kita perlu tunggu keputusan pada 7 Ogos ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Ketua Pembangang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai penegasan daripada kerajaan berhubung kesediaan Malaysia menghantar tentera pengaman di wilayah bergolak Thailand dan Kemboja tersebut sama seperti yang dilakukan dalam perang di Congo dan Bosnia suatu ketika dulu.
Terdahulu, Ahli parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee meminta penjelasan mengenai peranan Malaysia dalam memudahkan rundingan damai serta gencatan senjata antara kedua-dua negara jiran itu.
Menurut Anwar, Malaysia menerima sokongan dan mandat penuh daripada negara-negara ASEAN untuk memimpin rundingan tersebut.
“Kesemua mereka (negara anggota ASEAN) bersetuju menghantar atase pertahanan masing-masing bagi meneruskan pemantauan keadaan,
“Dan dalam mesyuarat yang akan diadakan di Kuala Lumpur juga akan disertai oleh atase pertahanan Malaysia bersama wakil pertahanan negara ASEAN lain,
“Kedua-dua Amerika Syarikat dan China akan hadir sebagai pemerhati sahaja, tetapi ini adalah inisiatif Malaysia yang disokong penuh oleh ASEAN,” tambahnya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua kerajaan Thailand dan Kemboja, yang telah menyatakan komitmen positif mereka untuk mencari penyelesaian.
Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan serta-merta hasil mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di Putrajaya.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai juga bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.-airtimes.my
#airtimes #Malaysia #Kemboja #Thailand #GBC
