Home SemasaGBC Thailand–Kemboja: ATM bukti peranan penting dalam diplomasi serantau

GBC Thailand–Kemboja: ATM bukti peranan penting dalam diplomasi serantau

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Penganjuran Mesyuarat General Border Committee (GBC) antara Thailand dan Kemboja oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencerminkan kepercayaan berterusan negara jiran terhadap keupayaan ATM dalam memimpin rundingan diplomasi ketenteraan secara profesional, neutral dan berkesan.

Markas ATM memaklumkan bahawa mesyuarat yang berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos 2025 di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur itu memperkukuh peranan Malaysia sebagai fasilitator aktif dalam menjamin kestabilan serantau.

“Penganjuran ini selari dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam usaha memelihara dan mengekalkan keselamatan yang utuh di rantau Asia Tenggara,” jelas Markas ATM dalam kenyataan.

Inisiatif ini juga adalah susulan kepada persetujuan yang dicapai dalam Mesyuarat Tiga Hala dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Kemboja dan Pemangku Perdana Menteri Thailand di Seri Perdana, Putrajaya pada 28 Julai lalu.

Terdahulu, delegasi peringkat Sekretariat GBC dari kedua-dua negara telah tiba di ibu negara pada semalam dan memaulakan mesyuarat di peringkat Sekretariat GBC bermula hari ini sehingga Rabu.

Ia adalah bagi menyelaras aspek pengurusan mesyuarat serta memuktamadkan agenda perbincangan dua hala yang bakal dibincangkan seperti Terms Of Reference (TOR) bagi penubuhan ASEAN Monitoring Team serta perkara yang melibatkan hubungan dua hala antara Thailand dan Kemboja.

Mesyuarat ini juga susulan lawatan diplomatik yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar ke Bangkok dan Phnom Penh pada 29 Julai lepas bagi mengadakan pertemuan dengan pihak tertinggi pertahanan kedua-dua negara.

Hari ini, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam turut mengadakan sesi pertemuan dengan Ketua Sekretariat GBC Thailand, Leftenan Jeneral Nuttapong Praokaew dan Ketua Sekretariat GBC Kemboja, Mejar Jeneral Sin Sokha di Wisma Perwira ATM.

Pertemuan ini memberi ruang pertukaran pandangan dan menekankan kepentingan pelaksanaan Mesyuarat GBC edisi kali ini.

ATM bertindak sebagai pemudah cara dalam mesyuarat sekretariat ini yang berlangsung selama tiga hari, dengan pelaksanaan diketuai oleh Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dan Ketua Pengarah Cawangan Operasi Pertahanan, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Rafi Muhammad.

Mesyuarat utama GBC Thailand–Kemboja akan diadakan pada 7 Ogos dengan penyertaan Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit serta Panglima Angkatan Tentera kedua-dua negara. Turut dijemput sebagai pemerhati ialah wakil dari Malaysia, Amerika Syarikat dan China.-airtimes.my

#pertahanan #Malaysia #Kemboja #Thailand #airtimes #rundingandamai #GBC

 

 

Related Articles

Leave a Reply