KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Parti Pembangkang hari ini mendesak kerajaan menjelaskan secara terperinci mengenai sumber kewangan sebenar bagi menampung perbelanjaan RM430 bilion yang diperuntukkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan kebimbangan bahawa jumlah besar tersebut mungkin memerlukan kerajaan menambah hutang atau membebankan rakyat melalui cukai baharu dan pemotongan subsidi.
“Persoalan besar yang perlu dijawab kerajaan. Dari mana datangnya RM430 bilion ini? Adakah kerajaan bercadang menambah hutang atau memperkenalkan cukai baharu untuk menampung perbelanjaan ini?
“Atau adakah rakyat sekali lagi akan menanggung beban melalui peluasan skop dan kadar cukai SST serta penarikan subsidi atas nama rasionalisasi fiskal?” katanya ketika perbahasan usul RMK-13 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menegaskan, RMK13 tidak boleh bersandar semata-mata kepada idealisme politik dan seharusnya dipandu realiti sebenar dihadapi rakyat.
“Apa ertinya inflasi diumumkan 1.1% kalau harga barang dapur naik hampir setiap minggu. Kita perlu jujur melihat inflasi makanan yang melonjak 2.9% hingga 3.3% terutama di Lembah Klang,” tegasnya.
Pada 31 Julai lalu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata ekonomi negara diunjurkan berkembang pada kadar antara 4.5% dan 5.5% sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaan RMK13.
RMK13 akan melibatkan sejumlah RM611 bilion dalam tempoh lima tahun, dengan peningkatan besar dijanjikan dalam pengangkutan, pendidikan, kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui, antara lain.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut memberi amaran bahawa cabaran fiskal kerajaan akan menjadi lebih getir dengan ruang perbelanjaan negara semakin sempit, ditambah dengan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.
“Lebih membimbangkan, harga minyak mentah yang merupakan antara sumber utama hasil negara diunjurkan menurun kepada purata hanya USD93.90 setong sepanjang tempoh RMK13,” tegas beliau.
Beliau turut mengingatkan kerajaan agar tidak menjadikan impian besar RMK13 sebagai angan-angan kosong yang tidak berpijak di bumi nyata.
“PN mahu kerajaan fokus kepada perkara teras bukan ‘persembahan’.
“Kerajaan harus lebih fokus kepada tadbir urus yang cekap, bukan gimik pelancaran,” tegasnya. -airtimes.my
#semasa #DewanRakyat #airtimes #RMK13 #Malaysia #DSAI
