KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang giat melaksanakan pemodenan keupayaan pertahanan negara dengan memberi tumpuan kepada integrasi teknologi Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) dan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pemodenan ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Keupayaan Dimensi Keempat ATM (4D MAF) serta Fasa Pembangunan Angkatan Masa Hadapan (AMH) 2026–2030, yang menetapkan hala tuju ATM ke arah sebuah angkatan yang moden, digeruni dan dihormati.
Beliau memaklumkan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menerima sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) jenis ANKA S keluaran Turkish Aerospace Industries (TAI) dalam fasa pertama perolehan, dengan penghantaran dijangka bermula pada tahun 2026.
“Perolehan ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Pembangunan Keupayaan 2055 (CAP55) oleh TUDM, dan ia akan diteruskan dalam fasa kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai rancangan Kementerian Pertahanan untuk mengintegrasi penggunaan UAV dalam sistem pertahanan udara negara di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan UAV bukan sekadar mempertingkat keupayaan pemantauan, malah mampu mengukuhkan keseluruhan sistem pertahanan dalam domain darat, laut dan udara.
“Melalui langkah strategik, UAS dan UAV dilihat mampu meningkatkan keupayaan ATM seperti peningkatan keupayaan kuasa tembakan, mobiliti, komunikasi dan logistik melalui domain daratan,
“Peningkatan keupayaan tempur maritim dan keupayaan daya tahan operasi maritim melalui domain maritim.
“Selain itu, ia juga mampu meningkatkan keupayaan pertahanan udara dan serangan udara melalui domain udara,” ujarnya lagi.
ATM juga telah menubuhkan beberapa jawatankuasa strategik, termasuk Jawatankuasa Pembangunan Angkatan Masa Hadapan dan Jawatankuasa Panglima-Panglima, bagi memperhalusi perancangan jangka panjang berkaitan teknologi ini menjelang RMK13.
Menjawab soalan tambahan, Adly Zahari turut memaklumkan bahawa Malaysia telah memulakan usaha membangunkan teknologi UAV tempatan melalui kerjasama strategik antara Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak tahun 2024.
“Menteri Pertahanan sendiri telah menggariskan dasar untuk membangunkan industri UAV tempatan,
“STRIDE kini menjadi peneraju utama dalam usaha ini bersama UTM. Kita juga sedang kenal pasti syarikat industri pertahanan yang boleh terlibat dalam keseluruhan rantaian pembangunan UAV negara,” ujarnya.
Beliau menambah, lawatan rasmi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Turkiye baru-baru ini turut membuka peluang kerjasama teknologi yang lebih luas, termasuk kemungkinan penghasilan bersama UAV di Malaysia pada masa hadapan.
“Inisiatif ini penting agar Malaysia bukan sahaja sebagai pengguna, tetapi mampu menjadi pengeluar teknologi UAV sendiri bagi menjamin kedaulatan dan keselamatan negara secara berdikari,” tegasnya.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #UAS #UAV #Malaysia #airtimes
