Home SemasaKematian Pelatih PALAPES: KPT, MINDEF tubuh Jawatankuasa Khas, siasatan dibuka semula

Kematian Pelatih PALAPES: KPT, MINDEF tubuh Jawatankuasa Khas, siasatan dibuka semula

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris, akan disiasat semula selepas menerima permohonan rasmi daripada keluarga mangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan melibatkan Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneliti serta memastikan laporan lengkap dapat disediakan dengan kadar segera.

Menurut beliau, permohonan siasatan semula itu dibuat oleh ibu Allahyarham yang tidak berpuas hati dengan laporan awal kematian dan telah melantik seorang peguam untuk mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa.

“Semalam, saya sendiri berkunjung ke rumah keluarga Allahyarham dan mendengar penjelasan daripada ibunya mengenai keadaan anaknya. Beliau memohon secara rasmi supaya siasatan semula dijalankan,

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Peguam Negara berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh pihak peguam,

“Kes ini kini berada di peringkat siasatan dan laporan penuh dijangka diperoleh dalam masa terdekat,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan beliau ketika menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN- Alor Setar) yang ingin mengetahui perkembangan lanjut kes Syamsul Haris.

Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia secara mengejut ketika menjalani latihan PALAPES, namun punca kematian menimbulkan tanda tanya kepada keluarga.

Allahyarham meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA).

Ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, dilaporkan telah membuat laporan polis selepas mendapati jenazah anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, ditemukan dengan kesan lebam yang teruk.

Sehubungan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi mengenal pasti punca kematian seorang pegawai kadet tersebut.-airtimes.my

#pertahanan #palapes #PULADA #airtimes #latihan

Related Articles

Leave a Reply