Home Pertahanan dan Keselamatan Lantik veteran ATM jadi warden asrama kekang buli – Ahli Parlimen Ketereh

Lantik veteran ATM jadi warden asrama kekang buli – Ahli Parlimen Ketereh

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kementerian Pendidikan (KPM) dicadang melantik veteran Angkatan Tentera (ATM) sebagai warden asrama bagi membendung peningkatan kes buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor berkata, cadangan itu mengambil kira pengalaman dan disiplin yang dimiliki bekas anggota pasukan keselamatan itu.

“Saya cadangkan kepada Menteri Pendidikan agar mengambil veteran ATM ini untuk dijadikan sebagai warden di asrama bagi mengelakkan kejadian buli yang kerap berlaku di asrama sekolah sekarang,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Jelasnya, peluang itu juga dapat membantu golongan tersebut selepas tempoh persaraan demi menampung kos sara hidup kerana menamatkan perkhidmatan lebih awal berbanding penjawat awam iaitu sekitar umur 40 tahun.

“Mengikut perintah Majlis ATM, bagi anggota lain-lain pangkat, mereka dikehendaki bertugas selama 21 tahun dan bersara sekitar umur 40 tahun dan diberi pencen sebanyak 50 peratus sahaja,

“Justeru itu, apabila mereka bersara amat sukar untuk mereka meneruskan hidup kerana tidak bekerja dan pencen yang rendah serta tiada pengalaman lain melainkan ilmu peperangan sahaja,

“Semasa bersara, kebanyakan veteran ATM ini mempunyai anak-anak yang masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang banyak. Sekiranya kerajaan tidak membantu mereka, sudah tentu mereka menghadapi masalah yang besar untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika Sesi Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memulakan pelantikan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas pegawai tentera dan polis di beberapa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebagai langkah awal untuk memperkukuh disiplin pelajar dan membanteras gejala buli.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif tersebut akan dilaksanakan secara projek rintis melibatkan beberapa buah MRSM terpilih sebelum diperluaskan mengikut keberkesanannya.-airtimes.my

#pertahanan #veteranATM #airtimes #DewanRakyat #Malaysia

Leave a Reply