KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menubuhkan pos kawalan di Beting Patinggi Ali bagi memperkukuh keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara di kawasan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, Beting Patinggi Ali merupakan kawasan maritim Malaysia berdasarkan peta baharu Malaysia 1979 dan sentiasa dipantau rapi oleh kerajaan.
Menurutnya, keselamatan di Laut China Selatan, termasuk di kawasan Beting Patinggi Ali, diurus secara bersepadu menerusi mekanisme Whole-of-Government (WoG) yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
“Setiap agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing untuk memastikan kepentingan negara sentiasa dipertahankan,
“Oleh itu, cadangan penubuhan pos kawalan ini perlu diteliti bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar memberi nilai tambah kepada tindakan yang sedang dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dari Datuk Larry Sng (PBM–Julau) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan pos kawalan di Beting Patinggi Ali bagi menghalang pencerobohan asing.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus memberi perhatian serius terhadap keselamatan kawasan perairan negara.
“Tindakan rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dilakukan bagi mempamerkan kehadiran (show of presence) di kawasan tersebut, sekali gus memastikan hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia kekal terpelihara,” katanya.
Tambahnya, rondaan berkala dan operasi pasukan keselamatan juga bertujuan melindungi aktiviti ekonomi negara, termasuk eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan berkenaan, selain mempertahankan kedaulatan negara.
Beting Patinggi Ali terletak 84 batu nautika (155 kilometer) dari pantai Miri, Sarawak dan berada dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
Sebelum ini, dilaporkan kapal milik China Coast Guard (CCG) dikesan memasuki Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, khususnya Beting Patinggi Ali.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus memperkukuhkan rondaan dan pengawasan di kawasan perairan.
Ujar beliau, strategi memperagakan kehadiran (show of presence) telah dijalankan secara konsisten untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan wilayah negara kekal terjamin.-airtimes.my
#keselamatan #Malaysia #BetingPatinggiAli #airtimes #Sarawak
