KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Insiden penggantungan Jalur Gemilang secara terbalik mungkin berpunca daripada tindakan yang disengajakan atau kerana kekhilafan dan ketidaktahuan tentang tatacara pengibaran bendera yang betul.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, walaupun tindakan itu jelas melanggar tatacara yang termaktub dalam Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, adalah penting untuk melihat punca sebenar sebelum membuat kesimpulan.
“Namun begitu, kita juga perlu melihat secara menyeluruh punca sebenar kejadian ini berlaku” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dilihat menaikkan jalur gemilang secara terbalik dan tular di media sosial baru-baru ini.
Lelaki itu, pemilik kedai perkakasan, berkata dia membetulkan kesilapan terbabit serta-merta selepas menyedarinya, tetapi kemudiannya ditahan.
Beliau menegaskan bahawa perkara tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan sebarang tindakan atau penalti akan diputuskan selepas itu.
Sehubungan itu, Aaron turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan tanpa menunggu siasatan penuh dan menyeru semua pihak, termasuk ahli politik, untuk mengelakkan membuat kenyataan atau tindakan provokatif yang boleh memburukkan keadaan.
“Dalam semangat perpaduan, kita tidak seharusnya terburu-buru membuat andaian tanpa menunggu hasil siasatan yang lengkap,
“Saya menyeru semua pihak (individu, ahli politik) agar meredakan keadaan dengan mengelakkan sebarang kenyataan atau perbuatan yang bersifat provokatif dan boleh memburukkan lagi keadaan,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, Aaron Ago turut mengingatkan rakyat supaya tidak takut atau ragu-ragu untuk memasang bendera sempena sambutan Bulan Kebangsaan, sebaliknya menjadikannya peluang untuk mempelajari tatacara yang betul.
“Kempen ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’ harus terus disokong sebagai simbol cinta dan semangat patriotik kepada negara,” ujarnya.
Beliau berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional juga akan menggerakkan kempen kesedaran melalui Rukun Tetangga, Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara bagi memastikan rakyat benar-benar memahami cara pengibaran bendera yang betul.-airtimes.my
#bendera #Malaysia #airtimes #JalaurGemilang #semasa
