Saban hari, kegiatan jenayah berprofil tinggi mahupun kes ringan dilihat semakin membimbangkan, sekali gus mengundang perhatian serius kalangan rakyat yang mendambakan keamanan negara kekal terpelihara. Peningkatan kes ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan sistem keselamatan, malah menghakis keyakinan terhadap institusi yang sepatutnya menjadi benteng pertahanan daripada sebarang ancaman nyawa dan harta.
Keluasan capaian media tanpa batas, kini menjadi ruang eksploitasi serta manipulasi yang mampu mengaburi pemikiran masyarakat, lalu membuka pintu kepada pelbagai spekulasi yang merumitkan keadaan. Walaupun sesuatu kes masih dalam siasatan, dan belum menemui titik penamat, desakan menuntut keadilan menjadi penting bagi rakyat demi memastikan kebenaran dapat ditegakkan.
Dalam sebuah negara merdeka, rakyat berhak hidup dalam kepastian bahawa setiap kesalahan akan dibicarakan, setiap pelaku akan dihukum, dan setiap mangsa akan dibela. Namun, apabila keadilan diangkat hanya selepas mendapat liputan media atau tekanan kuat, timbul persoalan: Adakah keadilan itu milik semua, atau hanya mampu dimiliki oleh mereka yang berkuasa dan berpengaruh?
Merdekah kita jika masih terbelenggu dalam cengkaman jenayah, dan terikat dengan pengaruh kuasa yang cuba menutup salah laku? Sejauh mana keadilan dapat ditegakkan, jika sistem terus lemah berdepan campur tangan pihak tertentu?
Rentetean insiden merenggut kepercayaan
Ekoran beberapa insiden jenayah mutakhir ini, keyakinan rakyat semakin tergugat. Lebih membimbangkan, apabila undang-undang dilaksanakan secara sambil lewa sehingga mendorong penjenayah bertindak tanpa rasa takut atau bersalah. Keadaan menjadi lebih parah, apabila kes melibatkan anggota penguat kuasa sendiri.
Antaranya, kes langgar lari oleh anggota polis di Ipoh, Perak pada 2023 , serta kes tragis kematian seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang didakwa dibunuh oleh anggota Polis. Situasi ini menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat yang menanti jawapan kepada isu yang membelenggu di fikiran mereka. Apabila kes seperti ini tular dan dibanjiri maklumat yang belum tentu sahih, ia berisiko menjejaskan siasatan dan mencetuskan kekeliruan.
Tragedi buli yang meragut nyawa seorang pelajar remaja, Zara Qairina Mahathir baru-baru ini, turut mengundang rasa mara dan simpati rakyat. Kes ini mengingatkan kembali kepada insiden melibatkan arwah Zulfarhan Osman, pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Kes buli atau dera bukanlah isu baharu. Walaupun kempen kesedaran dan tindakan disiplin telah lama dijalankan di institusi pendidikan, persoalannya mengapa pelajar masih terdorong untuk bersikap agresif hingga mengorbankan keselamatan fizikal dan mental mangsa? Adakah ia semata-mata untuk menunjukkan kuasa dan keangkuhan?

Insiden yang menjerat persoalan
Kematian pelajar, yang seharusnya menjadi harapan bangsa, hilang sekelip mata akibat keganasan atau kelalaian, seolah-olah nyawa tidak lagi bernilai. Fenomena ini mencetuskan gelombang solidariti rakyat menuntut siasatan telus dan saksama, tanpa melindungi mana-mana pihak yang cuba berselindung di sebalik kuasa.
Sistem keadilan bukan sekadar soal mahkamah dan hukuman, tetapi melibatkan tindakan segera, penelitian mendalam, komunikasi terbuka, dan empati terhadap mangsa. Dalam kes langgar lari, kelewatan mengesahkan identiti pelaku, kekaburan laporan awal, serta keengganan mendedahkan maklumat kepada umum, membangkitkan persoalan tentang integriti pihak berkuasa.
Begitu juga dalam kes pembunuhan arwah Farah Kartini pada tahun lalu, motif suspek masih menjadi tanda tanya. Bagi kes Zara pula, naratif awal dilihat cuba memanipulasi dan mengecilkan insiden, seolah -olah lebih cenderung menutup aib sosial berbanding membetulkan keadaan.
Lebih membimbangkan, terdapat laporan mengenai tekanan terhadap keluarga mangsa agar tidak membawa kes ke peringkat lebih tinggi, selain arahan kepada pihak sekolah supaya berdiam diri daripada menyuarakan pendapat. Keadaan ini menimbulkan persoalan: Adakah sistem sedang melindungi pelaku, atau sebenarnya cuba menutup kegagalannya sendiri?
Apa yang sepatutnya menjadi proses siasatan biasa kini dipalit kontroversi, naratif yang berubah-ubah dan pelbagai spekulasi. Situasi ini menimbulkan kekecewaan, bukan sahaja kepada keluarga mangsa, malah kepada rakyat sehingga wujudnya solidariti dengan harapan suara mereka didengari.
Menutup ruang gelap dalam keadilan
Apabila kebenaran diselindungkan, ia bukan sahaja mengundang dendam sosial dan memupuk budaya tidak percaya terhadap undang-undang, bahkan meruntuhkan keyakinan terhadap sistem.
Tanggungjawab membela mangsa tidak boleh diserahkan kepada media sosial semata-mata. Ia perlu digalas oleh sistem perundangan dan penguatkuasaan yang berani, telus, serta bebas daripada pengaruh kuasa.
Kebenaran mungkin pahit, tetapi menutupinya hanya menunda ledakan ketidakadilan yang lebih parah. Jika negara mahu benar-benar merdeka, kebebasan itu bukan sekadar bebas daripada penjajah, tetapi bebas daripada kezaliman, ketidakadilan, dan cengkaman jenayah.
Selagi kebenaran disorok dan keadilan boleh dibeli, bayang gelap itu akan terus menghantui rakyat. Selagi kebenaran ditimbus oleh ketakutan, keselesaan kuasa, atau kepentingan politik, selagi itulah bayang keadilan akan terus menjadi terancam.
Semoga keadilan berpihak kepada mereka yang berhak dan kebenaran tidak lagi menjadi mangsa yang dibisukan. -airtimes.my
#Airtimes #Jenayah #Buli #Keadilan #Malaysia
