Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan tingkat keupayaan radar, perkukuh aset pertahanan di Laut China Selatan – Adly

Kerajaan tingkat keupayaan radar, perkukuh aset pertahanan di Laut China Selatan – Adly

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kerajaan telah meningkatkan keupayaan penggunaan radar dan pertahanan siber bagi melindungi perairan Sabah serta Laut China Selatan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang mempertahankan kedaulatan negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, usaha itu bukan sahaja melibatkan pengawasan udara, darat dan laut, tetapi turut disokong oleh perolehan aset baharu seperti kapal misi pesisir (LMS), kapal tempur pesisir (LCS) serta pesawat tanpa pemandu UAV ANKA-S dari Turki yang dijangka diterima pada 2027.

“Kami telah meningkatkan liputan radar kami untuk memantau dengan lebih baik perairan Sabah dan Laut China Selatan. Ini telah dibincangkan di Parlimen sebelum ini,

“Peningkatan aset radar bukan sahaja mengenai isu darat, udara, atau laut, tetapi mengenai pengukuhan kesemuanya,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) semasa Waktu Soalan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Awang Solahuddin telah bertanya kepada Kementerian Pertahanan mengenai rancangan masa panjang untuk menggunakan aset utama bagi meningkatkan keselamatan di sempadan maritim negara.

Mengulas lanjut, Adly menegaskan, pengawasan maritim negara dilaksanakan secara berterusan menerusi operasi yang digerakkan oleh semua cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk Ops Daulat Benua oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tegasnya, setiap laporan berkaitan pencerobohan aset asing akan disalurkan kepada Kementerian Luar untuk tindakan diplomatik, namun pada masa sama ATM akan kekal tegas mempertahankan kedaulatan dan wilayah maritim negara.

“Kawasan maritim negara berada di bawah kawalan radar kita. Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke13 (RMK13) juga, kerajaan telah merangka pelan masa hadapan untuk meningkatkan lagi keupayaan pertahanan, termasuk dalam domain siber dan elektromagnetik,” katanya.

Adly turut memaklumkan, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan kini diperkukuh bagi memastikan teknologi pertahanan negara kekal relevan dengan perkembangan semasa.-airtimes.my

#airtimes #pertahanan #Malaysia #aset #ATM

Leave a Reply