Di tengah keghairahan dunia mengejar kemajuan teknologi pintar, landskap ancaman siber berubah menjadi semakin kompleks, licik dan berbahaya. Kecerdasan Buatan (AI) kini bukan sekadar alat membantu manusia, malah mampu meniru keupayaan berfikir, bertindak dan mencipta seperti manusia sebenar.
Teknologi AI kognitif yang semakin matang membuka ruang kepada kuasa baharu yang, jika disalah guna, berpotensi meruntuhkan benteng keselamatan digital global. Dalam era ini, teknologi bukan lagi hanya pemudah urusan, sebaliknya menjadi medan pertempuran antara keselamatan dan jenayah. Tidak mustahil dalam beberapa tahun akan datang, jenayah siber akan menjadi begitu kompleks sehingga membingungkan pihak berkuasa.
Ancaman siber kini melangkaui isu penggodaman kata laluan atau serangan laman web. AI yang sebelum ini dianggap sebagai benteng pertahanan, turut digunakan untuk melancarkan serangan yang sukar dibezakan daripada realiti, termasuk jenayah kewangan, manipulasi maklumat berskala besar, dan penyamaran identiti.
Kemajuan generatif AI membolehkan sistem rangkaian neural menghasilkan klon suara yang hampir mustahil dibezakan daripada suara manusia sebenar. Dengan hanya beberapa saat rakaman, AI mampu meniru intonasi, kelajuan pertuturan, dan ekspresi emosi seseorang dengan ketepatan luar biasa.
Fenomena ini membuka jalan kepada penyamaran suara tokoh penting, ahli keluarga, pegawai kerajaan atau sesiapa sahaja yang pernah dirakam dan dimuat naik ke internet. Apa yang dahulunya mustahil kini menjadi ancaman yang boleh berlaku hanya melalui satu panggilan.
Modus operandi “phishing suara” semakin licik
Phishing suara atau voice phishing kini antara taktik penipuan paling aktif dan berbahaya. Ia melibatkan penggunaan suara tiruan untuk memperdaya mangsa, lazimnya dengan naratif kecemasan. Mangsa menerima panggilan kononnya daripada ahli keluarga atau kenalan rapat yang meminta bantuan kewangan segera atas alasan seperti kemalangan, kecederaan atau ditahan pihak berkuasa di luar negara.
Phishing bukanlah taktik baharu, namun klon suara AI menjadikannya lebih meyakinkan dan sukar dikesan. Dengan manipulasi psikologi, penjenayah menyamar sebagai pihak berkuasa atau institusi kewangan untuk mendapatkan maklumat peribadi dan memujuk mangsa membuat transaksi.
Menurut laporan IBM Security 2024, serangan phishing kekal sebagai vektor serangan siber paling kerap digunakan, merangkumi lebih 36 peratus daripada semua insiden keselamatan global. CrowdStrike 2024 pula merekodkan peningkatan 442 peratus kes voice phishing berbanding tahun sebelumnya. Di Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggarkan kerugian akibat penipuan dalam talian melebihi RM1.3 bilion pada 2023, dengan voice phishing antara serangan yang meningkat secara drastik.

Phishing atau pancingan data ialah satu bentuk penipuan siber di mana penggodam menyamar untuk mencuri maklumat peribadi mangsa. FOTO: HIASAN
Gabungan wajah dan suara tiruan lenyapkan kepercayaan sosial
Dalam pada itu, klon suara AI kini sering digabungkan dengan visual deepfake yang mampu mencipta video atau imej palsu menampilkan individu sebenar dalam situasi rekaan. Ia bukan sahaja menjejaskan reputasi, malah boleh menyebarkan maklumat palsu sehingga mencetuskan kekeliruan awam.
Antara kes yang pernah berlaku ialah pemalsuan wajah dan suara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim oleh sindiket penipuan dalam talian untuk mempromosikan pelaburan tidak sah.
Klon suara dan deepfake AI berupaya menjerat mangsa dengan teknologi yang meniru suara, gaya dan wajah individu sebenar dengan tahap keyakinan yang tinggi.
Automasi penipuan: Sistem bot AI jangkau kemampuan manusia
Satu lagi ancaman besar ialah keupayaan klon suara AI mengautomasi penipuan dalam skala yang tidak dapat ditandingi manusia. Bot AI mampu membuat ribuan panggilan palsu, menghantar mesej automatik, dan menyesuaikan skrip mengikut respons mangsa dalam masa nyata dengan suara berbeza.
Dengan akses kepada pangkalan data bocor, AI boleh memanggil mangsa dengan nama sebenar, menyebut alamat atau nombor akaun, sekali gus meningkatkan keyakinan mangsa. Berbeza dengan manusia, AI tidak memerlukan gaji, tidak letih, dan beroperasi 24 jam tanpa henti.
Justeru, klon suara AI bukan sekadar cabaran teknologi, malah ancaman kepada keselamatan negara, masyarakat, dan sistem maklumat.
Pisau bermata dua
Pada akhirnya, klon suara AI memaparkan paradoks teknologi moden dimana, di satu sisi ia memperkasa inovasi, di sisi lain ia menjadi tipu daya yang meruntuhkan kepercayaan. Sama ada ia alat kemajuan atau senjata penipuan bergantung sepenuhnya pada cara manusia menggunakannya.
Dunia digital mungkin semakin canggih, namun tanpa batas etika dan pengawasan yang tegas, teknologi yang sepatutnya memajukan tamadun boleh menjadi pisau bermata dua yang menikam dari belakang. -airtimes.my
#diskusi #klonsuaraAI #pertahanan #AI
