KUALA LUMPUR, 7 OGOS – Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan untuk mematuhi gencatan senjata secara ketat di sepanjang sempadan kedua-dua negara serta mengelakkan sebarang tindakan provokatif.
Persetujuan antara dua negara itu dicapai hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.
Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit berkata, mesyuarat itu bertujuan memulihkan keamanan dan kestabilan di sempadan serta membolehkan penduduk kembali kepada kehidupan normal.
“Lima hasil utama telah dicapai termasuk penubuhan pasukan pemerhati sementara yang terdiri daripada atase tentera ASEAN berpangkalan di Thailand dan Kemboja. Pasukan itu akan diketuai oleh atase tentera pembantu dari Malaysia dan akan memantau pematuhan secara berkala tanpa menyeberangi sempadan.
“Pasukan berkenaan turut berkoordinasi rapat dengan Jawatankuasa Sempadan Tentera dan GBC kedua-dua negara. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak sebagai pemudah cara dalam rundingan dua hala ini,” katanya kepada media di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur.
Jelasnya lagi, kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat GBC seterusnya dalam tempoh sebulan dari tarikh hari ini, dengan lokasi akan dibincangkan kemudian. Jika mesyuarat tidak dapat diadakan, Mesyuarat GBC Luar Biasa perlu dipanggil serta-merta dengan format yang sama.

Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit. FOTO: Airtimes/Zulhaizi
“Dalam tempoh dua minggu selepas Mesyuarat GBC ini, Thailand dan Kemboja akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Wilayah (RBC) dengan tuan rumah ditentukan mengikut giliran sedia ada.
“Komunikasi langsung antara Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera kedua-dua negara akan dikekalkan secara tetap. Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk tidak menyebarkan maklumat palsu atau berita tidak sahih bagi mengelakkan ketegangan dan persepsi negatif awam,” katanya.
Selain itu, Thailand dan Kemboja kekal komited melaksanakan persefahaman yang telah dicapai dalam Mesyuarat Khas di Putrajaya pada 28 Julai lalu. RBC dari kedua-dua negara akan ditugaskan untuk melaksanakan gencatan senjata yang akan diselaraskan dan dipantau oleh pasukan pemerhati ASEAN yang diketuai oleh Malaysia.
Mesyuarat hari ini turut disertai Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, Panglima Angkatan Tentera dari kedua-dua negara serta wakil dari Malaysia, Amerika Syarikat dan China yang dijemput sebagai pemerhati.
Antara wakil Malaysia ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Mesyuarat RBC akan diadakan secara berkala dan laporan akan disalurkan kepada GBC melalui rantaian arahan negara masing-masing. -airtimes.my
#AirTimes #Diplomasi #ASEAN #Thailand #Kemboja #GencatanSenjata #ATM #GBC #RBC
