Home Pertahanan dan Keselamatan Ikmal Hisham: AW139 dan AW149 gagal penuhi keperluan tentera, desak beli Black Hawk dari Brunei

Ikmal Hisham: AW139 dan AW149 gagal penuhi keperluan tentera, desak beli Black Hawk dari Brunei

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menyifatkan perolehan helikopter AW149 sebagai satu keputusan yang tergesa-gesa dan tidak menepati keperluan operasi sebenar Tentera Darat Malaysia (TDM).

Ahli Parlimen Tanah Merah itu menegaskan bahawa helikopter jenis AW139 dan AW149 tidak mampu menampung keperluan asas operasi TDM, termasuk tugas ulang bekal dan operasi penerjunan anggota payung terjun 10 Briged Para.

“Keputusan memperoleh helikopter AW149 merupakan tindakan tergesa-gesa yang kurang bijak dan bakal merugikan kerajaan pada masa hadapan,

“Apatah lagi helikopter jenis ini tidak mampu untuk memenuhi aspek operasi harian Tentera Darat seperti kerja ulang bekal ataupun operasi penerjunan anggota 10 Briged Para,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) di Dewan Rakyat hari ini,

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu kritikal keperluan pesawat medium-lift bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terutama selepas semua pesawat Nuri dilucut tauliah pada tahun 2019 dan kegagalan syarikat Aerotree Sdn. Bhd. membekalkan helikopter Black Hawk kepada Tentera Darat.

Jelas beliau, helikopter AW139 dan AW149 tidak mempunyai keupayaan ‘winching’ dan ‘under-slung’ yang diperlukan untuk operasi sepanjang tahun, terutamanya dalam situasi bencana banjir yang berlaku secara tahunan.

“MINDEF sepatutnya melihat semula peluang membeli helikopter Black Hawk S-70i milik Kerajaan Brunei yang sebelum ini pernah ditawarkan kepada Malaysia pada tahun 2015,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan Brunei merupakan negara yang mengoperasikan barisan 12 pesawat Black Hawk S-70i serta kesemua pesawat berkenaan mencatatkan jumlah jam penerbangan yang rendah.

“Ini adalah peluang terhidang yang tidak harus dilepaskan oleh MINDEF untuk menutup lompong keperluan operasi ATM yang sangat memerlukan helikopter daripada jenis yang sama,

“Helikopter Black Hawk dari Brunei ini boleh diperoleh atau digunakan dengan cepat berbanding situasi menunggu untuk syarikat orang tengah perlu mendapatkan daripada pihak Original Equipment Manufacturer (OEM) yang belum pasti boleh menjanjikan aset jenis ini tersedia dan boleh dibekalkan kepada Tentera Darat,” tegasnya.

Beliau yakin pembelian aset tersebut boleh dilaksanakan dengan lebih cepat dan efisien berbanding proses mendapatkan helikopter baharu daripada pengeluar melalui orang tengah.

“Usaha pembelian 4 buah aset helikopter Black Hawk dengan Kerajaan Brunei ini pastinya akan dapat dibuat dengan lancar dan cepat mengambil kira hubungan baik pertahanan kedua-dua negara ini,” jelasnya lagi.

Pada Julai lalu, kerajaan telah menandatangani perjanjian pajakan selama 15 tahun melibatkan 12 buah helikopter AW149 bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, perjanjian tersebut telah dimuktamadkan pada 16 Jun 2025 lalu, dengan penghantaran pertama helikopter dijangka bermula pada suku pertama tahun 2027.

Helikopter AW149 yang dipajakkan ini akan menambah keupayaan sedia ada TUDM, di samping menyokong pelbagai tugasan operasi udara.

Sebelum ini, TUDM memaklumkan, pemilihan helikopter Leonardo AW149 bagi menggantikan pesawat Nuri atau Sikorsky S-61 memenuhi keperluan penugasan TUDM serta dilengkapi spesifikasi ketenteraan.-airtimes.my

#pertahanan #DewanRakyat #airtimes #pesawat #AW139

Leave a Reply