KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan untuk memohon maaf kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya kenyataan yang dibuat beliau di Parlimen baru-baru ini terbukti daripada sumber yang tidak sahih.
Bagaimanapun, tegas Anwar, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesahkan ketepatan maklumat tersebut.
“Soal kenyataan saya di Parlimen, saya telah bawa kepada MCMC untuk dapatkan semua keterangan yang berkenaan,
“Kalau dipastikan tidak ada sumber yang sahih, itu satu kesilapan. Saya tidak ada masalah (meminta maaf),” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin mengetahui sama ada Anwar bersedia memohon maaf kepada Muhyiddin susulan kenyataan yang mendakwa bekas Perdana Menteri itu menyokong pemberian subsidi kepada warga asing.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, beliau menerima laporan ada Ahli Parlimen pembangkang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi.
Susulan itu, Muhyiddin meminta Anwar memohon maaf berhubung dakwaan kononnya beliau mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan beliau tidak pernah mengarahkan MCMC menyiasat Muhyiddin, sebaliknya hanya mahu suruhanjaya itu menyiasat sumber maklumat berkenaan.
“Ada yang salah faham kata MCMC siasat Pagoh. Tidak. Saya nak jelaskan, saya kata sumber ini daripada 1,2,3. Tolong siasat 1,2,3 ini apakah sahih,
“Kalau tidak sahih, maka memang kenyataan itu tidak benar. Tapi biar tunggu keputusan daripada MCMC dahulu,” ujarnya lagi.-airtimes.my
Saya tiada masalah, kalau dipastikan tidak ada sumber yang sahih, itu satu kesilapan, saya tak ada masalah (untuk memohon maaf) – Anwar.
#semasa #airtimes #Anwar #Muhyiddin #Malaysia
