KUALA LUMPUR 23 Ogos – Skuadron Perisai Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia telah menerima aset baharu iaitu 4 buah kenderaan IAG Guardian 4×4 bagi memperkasakan kekuatan sedia ada.
Kenderaan perisai buatan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini diterima pasukan tersebut pada majlis penyerahan yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Penyerahan kenderaan IAG Guardian 4×4 ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Komited, Datuk Ir. Mohd Nasser Israil kepada Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Mohd Khalid, semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM, Dato’ Sri Azmi Abu Kassim dan barisan pengarah kanan PDRM yang lain.
Penggunaan kenderaan ini sebagai aset baharu PDRM dapat memperkukuhkan lagi kemampuan pasukan keselamatan di kawasan sempadan yang memerlukan perlindungan lebih tinggi dan mobiliti yang dipertingkatkan.
Perolehan empat buah kenderaan tersebut yang bernilai RM10.7 juta telah diluluskan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke-12.
Kenderaan yang dibekalkan oleh Global Komited ini berfungsi sebagai pengangkut berperisai (APC) PGA.

Kenderaan berperisai IAG Guardian 4×4 akan perkukuhkan operasi PGA. Foto: PDRM
Daripada jumlah itu, dua buah IAG Guardian ditempatkan di Briged Tengah PGA dan masing-masing sebuah di Bgd Utara PGA dan Bgd Tenggara PGA.
Kenderaan yang boleh membawa lapan orang penumpang dilengkapi sistem komunikasi serta ciri keselamatan taktikal.
Antaranya Radio VHF RMPnet, Portable Tactical Communication, Heavy Duty Winch, Runflat Tire dan Sistem Gantungan Heavy Duty.
Ia mempunyai perlindungan balistik STANAG 4569 Tahap 2 dan perlindungan letupan manakala jentera utamanya menggunakan enjin 6.7L V8 Diesel (330hp) dengan transmisi automatik 10 kelajuan.
Penerimaan IAG Guardian dapat mengurangkan kebergantungan kepada aset-aset perisai sedia ada PGA seperti Barracuda APC, Cadillac Gage Commando V-150 dan Sankey AT-105.
Dua jenis sedia ada seperti V-150 dan Sankey AT-105 misalnya merupakan kenderaan perisai yang diwarisi sejak era 1970an semasa memerangi pengganas komunis.
PGA mempunyai tujuh buah skuad perisai yang ditempatkan pada setiap briged termasuk dua di Malaysia Timur.
Skuadron perisai PGA yang ditubuhkan pada 1971 iaitu semasa era Pasukan Polis Hutan (PPH) memainkan peranan besar kepada pasukan tersebut termasuk dalam operasi subversif.
Ketika ini, pasukan pengaman Malaysia, MALBATT yang beroperasi di Lubnan di bawah misi UNIFIL turut menggunakan kenderaan IAG Guardian 4×4 sejak tahun 2018.







