KUALA LUMPUR, 19 OGOS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini akan menjawab persoalan mengenai tahap kesiagaan pertahanan negara di Dewan Rakyat.
Beliau akan menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang dibangkitkan sebagai soalan kedua semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat untuk sesi Parlimen hari ini, Ahmad Fadhli meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik dunia dan serantau.
Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang lalu, Perdana Mneterni menyatakan hasrat kerajaan untuk memberikan perhatian pengukuhan keselamatan dan pertahanan bagi memastikan kestabilan serta kemakmuran negara.
Menurut beliau, ia akan dicapai melalui pembentukan angkatan masa hadapan yang bersepadu, tangkas dan berfokus.
“Keupayaan aset keselamatan dan pertahanan serta kapasiti anggota turut diperkasakan dengan teknologi termaju yang menggunakan AI,
“Kawalan di sempadan darat dan maritim negara akan terus diperkukuh bagi mengekang ancaman rentas sempadan,
“Kesiapsiagaan dalam mendepani ancaman kedaulatan dan keselamatan di Laut China Selatan juga akan diperhebat dengan lebih menyeluruh,” kata Perdana Menteri.
Laut China Selatan pada ketika ini dilihat mengalami sedikit pergolakan terutamanya melibatkan China dan Filipina. Baru-baru ini, sebuah kapal agensi kerajaan China (Pasukan Pengawal Pantai China, CCG) mengalami kerosakan akibat terlanggar kapal Tentera Laut China (PLA-Navy) ketika mengejar kapal Pasukan Pengawal Pantai Filipina, BRP SULUAN pada 11 Ogos lalu.
Pun begitu, fabrik keselamatan dan keamanan global menjadi rapuh selepas penaklukan Rusia terhadap Ukraine pada Februari 2022. Walaupun perang di timur Eropah itu bermula pada 2014, peperangan yang tercetus pada 3 tahun lalu merupakan penaklukan yang melibatkan Rusia secara langsung.
Semenjak itu, beberapa siri konflik global tercetus sehingga menyebabkan gangguan terhadap laluan perdagangan dan juga bekalan makanan global. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Parlimen
