KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Kerajaan menegaskan bahawa Malaysia akan terus mempertahankan hak kedaulatan dan kepentingan negara di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) walaupun berdepan bantahan daripada negara-negara penuntut lain di Laut China Selatan (LCS).
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua tindakan kerajaan berlandaskan Peta Malaysia 1979 serta peruntukan undang-undang antarabangsa khususnya Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).
Jelasnya, pembangunan medan minyak dan gas tetap diteruskan kerana ia bukan sahaja keperluan ekonomi, malah satu manifestasi hak kedaulatan yang perlu dizahirkan.
“Di dalam konteks pengendalian isu LCS, Kerajaan mengambil langkah supaya kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama di dalam setiap tindakan yang diambil,
“Bagi memastikan aktiviti eksplorasi dan eksploitasi minyak dan gas di perairan negara di Laut China Selatan berjalan dengan lancar, Kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh atau “whole of government” bagi menyelaras usaha mempertahankan kepentingan negara,
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus mempamerkan kehadiran berterusan (omnipresence) sama ada melalui aset laut mahupun udara di kawasan LCS,” jelas beliau melalui kenyataan bertulis di Parlimen, hari ini.
Tambahnya, aset keselamatan negara sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk diatur gerak pada bila-bila masa bagi memastikan keselamatan operasi eksplorasi dan eksploitasi minyak dan gas, khususnya kepada pekerja syarikat domestik sentiasa terjamin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Datuk Mahiaddin Mohd Yassin yang menyoal kerangka dasar Kerajaan untuk mempertahankan hak eksplorasi Malaysia di dalam ZEE, khususnya keselamatan operasi syarikat domestik.
Selain pengukuhan ketenteraan, komunikasi rapat turut dijalinkan antara syarikat tempatan dan pasukan keselamatan untuk memastikan tindakan segera diambil sekiranya berlaku sebarang insiden.
Mohamad menegaskan, setiap langkah diambil dengan pertimbangan komprehensif dan tidak akan memprejudiskan kedaulatan negara.
“Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan dan kepentingannya di kawasan maritim berdasarkan Peta Malaysia 1979 serta undang-undang dan peraturan berkaitan. Tindakan ini adalah selaras dengan hak kedaulatan negara yang perlu dizahirkan,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan peranan Malaysia di peringkat serantau sebagai Penyelaras Dialog ASEAN-China (2024–2027) dalam rundingan Kod Tatalaku Laut China Selatan (CoC).
Usaha ini menurutnya, dijalankan dengan berhati-hati agar perjanjian yang dicapai bersifat mengikat, efektif dan tidak menjejaskan kedaulatan negara. -airtimes.my
#airtimes #pertahanan #kedaulatan #ZEE #LCS #ATM


