KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan pihaknya bukan jurucakap kepada mana-mana syarikat swasta, termasuk dalam isu isu pembinaan kilang helikopter AW149 di Batu Berendam, Melaka.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, segala persoalan dibangkitkan berkait sewaan helikopter AW149 telah dijawab dari segi teknikal, mahupun keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kementerian Pertahanan bukan jurucakap mana-mana syarikat swasta. Itu tidak benar,
“Sebenarnya apa yang hendak kita berikan adalah maklumat, kami memberikan penjelasan dari segi teknikal ataupun segi keupayaan helikopter berdasarkan maklumat yang sahih,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab dakwaan dibuat Ikmal Hisham bahawa MINDEF seolah-olah menjadi jurucakap pihak swasta berkait sewaan helikopter AW149, selain turut bertanyakan adakah ia memenuhi keperluan pengguna akhir atau end user.
Adly Zahari menegaskan bahawa pemilikan kilang helikopter itu kekal di tangan pihak swasta dan kerajaan hanya memastikan aset yang diperoleh benar-benar menepati keperluan pengguna, khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mengulas lanjut, Adly berkata, kenyataan berulang kali dibuat Ikmal Hisham berkait sewaan helikopter AW149 itu juga menimbulkan banyak persepsi.
“Persepsi banyak dibina di situ, saya fikir pemilikan industri ini adalah pemilikan pihak swasta tetapi pada masa sama, kita tahu bahawa kepentingan penggunaan helikopter itu adalah pada kita, agensi kerajaan ini,
“Ini yang saya sebutkan bahawa kita di MINDEF sama ada melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) atau Majlis Industri Pertahanan, kita ada empat penyelarasan,
“Bahagian Industri Pertahanan kita libatkan dan kita boleh tahu apa industri yang kita wujudkan, yang mana terkait dengan industri pertahanan,
“Begitu juga dengan (Bahagian) Penyelarasan Teknikal, ia dilaksanakan pihak pengguna sendiri kerana di perkhidmatan itulah yang menentukan teknikal dan teknologi apa yang mereka perlukan masa kini untuk menjaga keselamatan serta pertahanan negara,” tegasnya.
Mengulas mengenai pemilihan lokasi, Adly menjelaskan ia bukan keputusan terburu-buru, sebaliknya pelengkap kepada ekosistem aeroangkasa negara yang kini berpusat di Subang.
“Kita akui Subang adalah hab utama aeroangkasa, tetapi Batu Berendam juga ada keupayaan tersendiri. Malah, ia menyokong hala tuju Kertas Putih Pertahanan untuk membangunkan industri pertahanan negara,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang mendakwa projek bernilai RM16.4 bilion itu dibuat tanpa ujian menyeluruh dan tidak menjamin kemampuan helikopter AW149 memenuhi keperluan pertahanan.-airtimes.my
#airtimes #MINDEF #airtimes #perolehan #aset #ATM
