Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia mesti bina kekuatan dalam negara, bukan bergantung pada perolehan luar

Malaysia mesti bina kekuatan dalam negara, bukan bergantung pada perolehan luar

A+A-
Reset

SENDAYAN, 23 OGOS – Malaysia tidak seharusnya secara berterusan bergantung pada perolehan dari luar, tetapi sebaliknya mesti membina kekuatan dalam negera dengan prinsip tatakelola yang telus, kecanggihan teknologi dan penyelidikan yang berpaksi pada kekuatan jati diri bangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu menerusi laman sosial miliknya selepas hadir merasmikan kilang kenderaan perisai Mildef International Technologies di Sendayan hari ini.

“Ia antaranya menjadi lambang inovasi dan kepakaran tempatan, selain menjadi simbol kedaulatan yang mengakar pada maruah bangsa.

“Bersempena bulan kemerdekaan ini, beliau menegaskan bahawa keamanan tidak hadir dengan sendirinya, sebaliknya ditegakkan dengan pengorbanan para perwira dan perajurit bangsa, dengan disiplin yang teguh, dan dengan kepemimpinan yang menolak segala bentuk penyimpangan mahupun yang diam terhadap kecurangan,” katanya.

Ujarnya lagi, aspek pertahanan adalah amanah dalam menjaga dan melindungi maruah negara, memelihara Selat Melaka dan Laut China Selatan, serta mempertahankan keamanan rantau ini bersama sahabat-sahabat serantau.

Justeru itu, beliau turut menekankan bahawa kekuatan industri pertahanan tempatan harus berpadu dengan kesejahteraan rakyat.

“Bila bumbung ekonomi negara makin tinggi, lantainya juga mesti terangkat supaya pekerja dan keluarga turut menikmati hasilnya. Ini semangat yang MADANI, yakni pertahanan yang kukuh, ekonomi yang makmur, rakyat yang sejahtera, dan negara yang terus dihormati dunia,” katanya. -airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #MILDEF #KenderaanPerisai #IndustriPertahanan #Malaysia

Leave a Reply