Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF pastikan perolehan aset strategik ikut tatacara kewangan, elak isu LCS berulang

MINDEF pastikan perolehan aset strategik ikut tatacara kewangan, elak isu LCS berulang

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 27 OGOS – Kerajaan menegaskan komitmen untuk memperkukuh integriti serta tadbir urus dalam setiap proses perolehan aset strategik pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pematuhan terhadap peraturan kewangan diperkuat kuasa dalam setiap peringkat bagi memastikan perolehan aset berjalan mengikut ketetapan.

“Semua permohonan perolehan peralatan dan kelengkapan pertahanan hendaklah diperakukan oleh pihak pengguna selaku end user sama ada daripada Perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” jelasnya dalam jawapan lisan Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dari Komander Nordin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) (Lumut) mengenai apakah langkah konkrit Kementerian dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam perolehan ketenteraan, agar projek aset strategik seperti Kapal Tempur Pesisir (LCS) tidak lagi terpalit dengan isu kelewatan, ketirisan atau kos berlebihan.

Beliau menjelaskan, kewujudan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Perolehan Dalaman (MINDEF) menjadi mekanisme tambahan, bagi memastikan tatacara pengurusan dipatuhi sepenuhnya.

Menurutnya, proses semakan dan pengesahan permohonan dilakukan melalui Jawatankuasa di bawah Markas Perkhidmatan yang dipengerusikan oleh Ketua Perkhidmatan.

Antara jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Keperluan Operasi Tentera Darat; Lembaga Pengurusan Keupayaan TLDM; dan Jawatankuasa Pembangunan Keupayaan TUDM.

“Setiap permohonan yang diterima akan diteliti bagi memastikan spesifikasi dan kos adalah selari dengan kehendak pengguna serta bersandarkan kepada kelulusan peruntukan yang diterima dari Agensi Pusat,” ujarnya lagi.

Selain itu, Jawatankuasa Penapisan Perolehan turut ditubuhkan bagi membuat penelitian sebelum sesuatu projek dilaksanakan, selari dengan kelulusan Kementerian Kewangan serta Unit Perancang Ekonomi, dan Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Khaled menambah, MINDEF juga melaksanakan pemantauan berterusan dengan melibatkan agensi pusat seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Unit Penyelerasan Pelaksanaan (ICU) bagi memastikan proses perolehan aset strategik berjalan lancar. -airtimes.my

#Airtimes #LCS #TD #TLDM #TUDM #Pertahanan #MinDef #Malaysia

Leave a Reply