ANKARA, 15 Ogos – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melangkah setapak ke hadapan dalam program perolehan dan pengoperasian ANKA. Baru-baru ini, seramai 7 pegawai dan 19 anggota TIDM telah berjaya menamatkan Kursus Senggaraan Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) ANKA O-Level Maintenance di Turkish Aerospace Industries (TAI), Ankara, Türkiye.
Menurut TUDM dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya, Kursus yang berlangsung dari 30 Jun hingga 15 Ogos itu merangkumi tiga modul utama iaitu Mechanical & Engine Systems, Avionics Systems dan Ground Control Systems.
“Kursus ini bertujuan untuk mempersiapkan jurutera dan juruteknik TUDM dalam melaksanakan penyelenggaraan peringkat O-Level bagi pesawat UAS ANKA yang akan dimiliki oleh TUDM pada awal tahun hadapan,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Pengurus Besar Akademik TAI merakamkan penghargaan di atas komitmen para pegawai dan anggota TUDM sepanjang latihan serta beliau percaya TUDM mampu mengoperasikan aset baharu tersebut dengan baik. Beliau juga menegaskan kepentingan kemahiran senggaraan amat penting bagi memastikan kesiagaan operasi pesawat tersebut sentiasa di tahap yang tertinggi.

Kursus Mechanical & Engine Systems, Avionics Systems dan Ground Control Systems merupakan persiapan kepada TUDM untuk menerima aset baharu UAS ANKA pada tahun hadapan. Foto: TUDM
TUDM menyifatkan pencapaian ini sebagai langkah penting dalam memperkukuh keupayaan senggaraan aset moden, sekali gus menyokong keberkesanan operasi masa hadapan.
“Kerajaan komited memanfaatkan teknologi baharu, khususnya teknologi dron atau Unmanned Aerial System (UAS) bagi memperkukuh keupayaan pemantauan, pengawasan dan kawalan keselamatan di kawasan sempadan darat, perairan serta ruang udara,” katanya dalam penyataan jawapan lisan Dewan Rakyat.
Menurut beliau, pengoperasian UAS ANKA akan memperkukuh keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR) TUDM, sekali gus meningkatkan keberkesanan pemantauan masa nyata (real time), mempercepat penyaluran maklumat serta mempertingkat keupayaan tindak balas.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan industri dan agensi berkaitan bagi membangunkan kepakaran tempatan.
Beliau berkata demikian, langkah itu penting bagi memastikan pemindahan teknologi yang berkesan selain meningkatkan latihan dan persijilan operator, agar pelaburan teknologi dron memberi impak maksimum terhadap pertahanan dan keselamatan persempadanan negara. – airtimes.my








