Home Pertahanan dan Keselamatan LKT 2025: Aset naik taraf, UAS FlyEye serlah kuasa tempur Tentera Darat

LKT 2025: Aset naik taraf, UAS FlyEye serlah kuasa tempur Tentera Darat

A+A-
Reset

GEMAS, 12 Ogos – Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 yang berlangsung di Lapang Sasar Gemas menjadi bukti kesiagaan dan kekuatan tempur Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dengan demonstrasi gabungan aset darat serta udara yang bersepadu.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, latihan tahunan ini bukan sekadar rutin, sebaliknya medan menguji, menilai dan mempertingkat keupayaan aset, sistem persenjataan serta kesiapsiagaan anggota ATM menghadapi ancaman moden.

“Latihan ini adalah tonggak kesiapsiagaan kita, tempat di mana keberanian, kemahiran dan tekad anggota digilap menjadi kekuatan yang tidak dapat dipecahkan,

“Nilainya bukan pada kos, tetapi pada keyakinan dan kepastian bahawa kekuatan kita mampu bertahan mengharungi sebarang cabaran,” katanya ketika berucap semasa penutup Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, hari ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dipertontonkan dengan penglibatan sulung Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) dalam segmen Direct Fire Support Base (DFSB), memperkukuh konsep pertahanan menyeluruh (Total Defence).

LKT kali ini mempamerkan keberkesanan operasi kenderaan perisai MIFV yang baru dinaik taraf serta dilengkapi sistem mobiliti dan perlindungan yang dipertingkatkan bagi meningkatkan keberkesanan di medan operasi.

Selain itu, teknologi moden turut diperlihatkan melalui penggunaan Unmanned Aerial System (UAS) FlyEye yang melaksanakan misi Target Acquisition dan Battle Damage Assessment secara masa nyata membuktikan keupayaan Tentera Darat mengintegrasikan teknologi moden dalam operasi medan pertempuran.

Antara persembahan yang mencuri tumpuan adalah koordinasi tembakan meriam 155mm G5 yang menandakan sasaran dengan peluru asap sebelum disusuli serangan udara oleh pesawat pejuang F/A-18D Hornet dan SU-30MKM TUDM ke atas sasaran baharu yang dibina khusus untuk latihan kali ini.

Mengulas lanjut, Panglima Tentera Darat turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar ATM bukan hanya pada kelengkapan dan aset, tetapi pada semangat, disiplin dan pengorbanan anggota yang mengendalikannya demi mempertahankan kedaulatan negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Muhammad Norazlan Aris TUDM; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.-airtimes.my

#ATM #pertahanan #TDM #LKT2025 #airtimes

Leave a Reply