KUALA LUMPUR, 02 MAC – Markas Pemerintahan Tengah Amerika Syarikat (US Central Command, US CENTCOM) secara rasmi mengesahkan seramai 3 anggota tentera mereka maut dan 5 lagi cedera dalam serangan balas Iran.
Pengesahan dibuat oleh US CENTCOM dalam satu kenyataan.
“Operasi tempur utama diteruskan dan usaha tindak balas kami sedang berjalan. Situasi di lapangan adalah sangat dinamik, jadi demi menghormati keluarga, kami tidak memberikan maklumat tambahan,” jelas CENTCOM dalam kemas kini terbaharu mereka berhubung status keselamatan anggota tentera mereka di lapangan.
Dalam perkembangan lain, pihak US CENTCOM mengesahkan sebuah kapal korvet kelas Jamaran milik Tentera Laut Iran telah dibedil secara langsung pada fasa awal Operasi Epic Fury. Kapal perang tersebut dilaporkan karam ke dasar Teluk Oman berhampiran pangkalan dermaga Chah Bahar, berhampiran sempadan Iran-Pakistan.
Kemusnahan kapal korvet kelas Jamaran ini merupakan satu tamparan hebat kepada keupayaan pertahanan maritim Iran di perairan strategik tersebut.
Pada masa yang sama, pihak tentera AS menafikan khabar angin yang mendakwa serangan peluru berpandu balistik telah disasarkan terhadap kapal induk USS ABRAHAM LINCOLN.
” USS ABRAHAM LINCOLN tidak terkena bedilan. Peluru berpandu yang dilancarkan tidak menghampir i kapal. Kapal terus melancarkan pesawat terbang sebagai menyokong kempen tanpa henti CENTCOM untuk mempertahankan rakyat Amerika dengan menghapuskan ancaman daripada rejim Iran,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyatakan sebanyak 4 peluru berpandu balistik dilancarkan terhadap USS ABRAHAM LINCOLN.
Media Iran memetik kenyataan IRGC yang memberikan perkembangan terkini Operation True Promise 4 yang dilancarkan sebaik sahaja AS dan Israel lancarkan serangan udara terhadap Iran.
“Pihak perhubungan awam IRGC pada Ahad menyatakan serangan (terhadap USS ABRAHAM LINCOLN) merupakan sebagai sebahagian daripada serangan balas terhadap AS dan Israel,
“Pihak tentera menyatakan mereka memasuki fasa baharu operasi dan memberi amaran bahawa darat dan laut akan menjadi kubur kepada penceroboh,” lapor media Iran, Press TVC yang memetik kenyataan IRGC. – airtimes.my
