Home GlobalChina pertahan kawalan eksport, sifatkan langkah perlu kekang ‘ketenteraan semula’ Jepun

China pertahan kawalan eksport, sifatkan langkah perlu kekang ‘ketenteraan semula’ Jepun

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

BEIJING, 16 JAN – China menegaskan bahawa langkah memperketatkan kawalan eksport terhadap barangan dwi-guna ke Jepun adalah tindakan yang sah sepenuhnya, munasabah dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Penegasan terbaharu ini disuarakan oleh Kementerian Perdagangan China pada Khamis sebagai respons langsung terhadap kritikan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi yang mendakwa kawalan eksport tersebut tidak selaras dengan amalan antarabangsa.

Jurucakap kementerian, He Yongqian menjelaskan bahawa langkah yang diambil oleh China sebenarnya berpunca daripada provokasi pihak Jepun sendiri.

“Langkah China terhadap Jepun berpunca daripada kenyataan dan tindakan salah oleh Takaichi, satu fakta yang pihak Jepun amat sedia maklum,” tegas He Yongqian dalam satu taklimat media semalam, seperti dilaporkan oleh Xinhua.

Beliau menambah bahawa kawalan eksport adalah amalan antarabangsa yang diterima umum demi menjaga keamanan dunia dan memenuhi kewajipan pencegahan percambahan senjata.

Menurutnya, selaras dengan undang-undang, China mengumumkan larangan eksport ke atas semua barangan dwi-guna kepada pengguna tentera Jepun. Larangan ini bertujuan mengekang percubaan Jepun ke arah “ketenteraan semula” dan usaha memperoleh senjata nuklear.

“China sekali lagi menggesa Jepun untuk melakukan muhasabah diri dengan serius, memperbetulkan kesilapan dan mengelak daripada terus melangkah jauh ke jalan yang salah,” kata He Yongqian yang turut menolak dakwaan “paksaan ekonomi” oleh Jepun sebagai manipulasi fakta.

Laporan sekatan nadir bumi cetus kebimbangan awal

Isu kawalan eksport ini mula mendapat perhatian serius pada minggu lalu apabila media antarabangsa melaporkan kebimbangan mengenai gangguan rantaian bekalan industri.

Dalam laporan Reuters pada 9 Januari lalu, China didakwa mula menyekat eksport nadir bumi dan magnet berkuasa tinggi kepada syarikat-syarikat Jepun susulan pengumuman awal larangan barangan dwi-guna tersebut.

Laporan yang memetik sumber Wall Street Journal itu mendakwa sekatan tersebut dikenakan secara meluas merentasi pelbagai industri Jepun, bukan terhad kepada sektor pertahanan sahaja, sekaligus menimbulkan kegusaran pemain industri automotif.

Bagaimanapun, bagi meredakan kebimbangan tersebut ketika itu, seorang lagi jurucakap kementerian, He Yadong pada 8 Januari lalu telah tampil memberi jaminan bahawa pengguna awam tidak akan terjejas.

“Komitmen China untuk mengekalkan kestabilan dan keselamatan rantaian perindustrian serta bekalan global kekal tidak berubah,” jelas kementerian itu dalam kenyataan terdahulu bagi menyangkal dakwaan bahawa sekatan itu bersifat menyeluruh.

Habungan diplomatik Beijing dan Tokyo dilihat semakin merosot sejak November lalu apabila Takaichi mengeluarkan kenyataan bahawa serangan China terhadap Taiwan boleh mencetuskan tindak balas ketenteraan Jepun, satu kenyataan yang disifatkan Beijing sebagai “provokatif” dan menjadi punca utama kepada siri ketegangan dagangan ini. –airtimes.my

#Airtimes #China #Jepun #eksport #nadirbumi

Related Articles

Leave a Reply