NICOSIA, 16 JAN – Pasukan Pengawal Kebangsaan Cyprus dilaporkan telah menerima sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) jenis H10 Poseidon. Aset yang dikeluarkan oleh syarikat Swarmly Aero ini bukan sahaja merupakan teknologi terkini malah ia mempunyai reputasi tinggi sebagai sistem yang telah terbukti keberkesanannya di medan tempur Ukraine.
Dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di kem Patroclos Kokkinos yang terletak di Mosfiloti baru-baru ini, dua unit dron H10 Poseidon telah diserahkan kepada pihak tentera. Lokasi ini juga merupakan markas bagi Bateri Pemerhati Artileri ke-195 yang bakal mengoperasikan aset baharu tersebut.
Apa yang menarik perhatian adalah kesemua aset bernilai tinggi ini disumbangkan secara percuma oleh pengeluar tempatan Cyprus iaitu Swarmly Aero.
Menurut laporan media Cyprus, sumbangan UAV berkenaan diterima sebagai satu pelaburan besar terhadap negara pulau itu.
“Era peperangan moden kekuatan artileri tidak lagi bergantung semata-mata kepada kaliber atau jarak tembakan tetapi kepada kepantasan dan ketepatan membidik sasaran,
“Keupayaan untuk mengakses maklumat masa nyata adalah penentu kemenangan di medan tempur dan integrasi dron Poseidon ke dalam Bateri Pemerhati Artileri adalah langkah tepat untuk merealisasikan doktrin tersebut,” kata Ketua Pengawal Kebangsaan Cyprus Leftenan Jeneral Emmanuel Theodorou dalam laporan media negara itu.
Beliau menyifatkan perolehan ini sangat kritikal kerana H10 Poseidon telah membuktikan keupayaannya di medan tempur di Ukraine.
“H10 Poseidon kini sedang digunakan secara meluas dalam keadaan sebenar di barisan hadapan Ukraine dan telah berjaya memenuhi keperluan persekitaran operasi intensiti tinggi moden,
“Rekod operasi di Ukraine menunjukkan sistem ini bukan sahaja tahan lasak malah mampu beradaptasi dengan cabaran peperangan elektronik yang kompleks yang sering digunakan oleh pihak musuh untuk melumpuhkan sistem komunikasi dron,” ujar Theodorou.
Dari aspek spesifikasi teknikal, H10 Poseidon direka untuk terbang pada ketinggian sehingga lima kilometer dengan jarak operasi sejauh 50 kilometer. Keupayaan ini membolehkan UAV ini melaksanakan misi pengawasan penandaan sasaran.
Selain itu, UAV ini digunakan bagi melakukan pembetulan tembakan artileri sama ada pada waktu siang atau malam dalam keadaan cuaca yang mencabar.
Data risikan yang diperolehi akan dipancarkan secara masa nyata atau real-time kepada semua unit artileri Pengawal Kebangsaan bagi memberikan koordinat lokasi dan pergerakan musuh dengan tepat.
Salah satu keunggulan utama sistem ini adalah tahap kebolehkesanan yang amat rendah (low detectability). Pihak pengeluar menyatakan bahawa reka bentuk aerodinamik dan penggunaan warna khusus menjadikan dron ini sukar dikesan secara visual mahupun melalui sistem pengawasan moden.
Jejak haba yang minimum mengurangkan risiko ia dikesan oleh penderia inframerah. Struktur badannya pula direka untuk mengehadkan pantulan gelombang elektromagnet sekaligus menyukarkan pengesanan oleh radar musuh. Ciri-ciri halimunan ini menjadikan ia hampir mustahil untuk dikesan oleh pasukan lawan di medan tempur.
Selain itu ketahanan terhadap serangan elektronik juga merupakan ciri penting bagi UAV ini. Ia dilengkapi dengan sistem anti-gangguan bagi meningkatkan daya tahan terhadap sebarang percubaan untuk memesongkan sistem navigasi.
Walaupun dron ini mempunyai keupayaan navigasi GPS, operator masih boleh mematikan sistem tersebut sekiranya isyarat diganggu atau dipalsukan dan meneruskan penerbangan menggunakan sistem navigasi satelit alternatif. Ini menjadikan sebarang usaha pemintasan melalui kaedah peperangan elektronik menjadi amat sukar.
Syarikat Swarmly Aero yang berpangkalan di Cyprus kini semakin mendapat tempat di pasaran antarabangsa. Laporan media Cyprus memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutifnya Gary Rafalovsky yang menyatakan bahawa syarikat tersebut telah membekalkan lebih daripada 200 unit dron H10 Poseidon kepada Tentera Darat Ukraine setakat ini.
Penghantaran pertama ke Ukraine bermula seawal tahun 2022 melalui dana sukarelawan sebelum Kementerian Pertahanan Ukraine secara rasminya meluluskan penggunaan dron tersebut pada tahun lalu. Selain Ukraine, syarikat ini juga telah berjaya menembusi pasaran Asia Tenggara dengan eksport ke Indonesia. – airtimes.my
#AirTimes #TeknologiPertahanan #Ukraine #Cyprus
