Home SemasaOperasi Absolute Resolve: Bagaimana EA-18G Growler membutakan mata S-300 Rusia

Operasi Absolute Resolve: Bagaimana EA-18G Growler membutakan mata S-300 Rusia

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Peperangan moden tidak lagi bermula dengan letupan atau serangan udara besar-besaran. Dalam banyak kes, ia bermula dalam senyap melalui gelombang elektromagnet yang tidak kelihatan.

Inilah realiti yang terserlah dalam Operasi Absolute Resolve, apabila pesawat peperangan elektronik Amerika Syarikat, EA-18G Growler, memainkan peranan penting dalam melumpuhkan keupayaan pertahanan udara Venezuela di sekitar Caracas.

Dalam operasi yang dilaporkan berlaku pada awal Januari 2026 itu, Growler tidak menjatuhkan bom atau peluru berpandu ke atas sasaran darat.

Sebaliknya, pesawat ini digunakan untuk membutakan sistem pertahanan udara berasaskan Rusia, S-300VM, sekali gus membuka laluan selamat kepada pesawat dan helikopter lain yang terlibat dalam misi berisiko tinggi tersebut.

Mengenali EA-18G Growler

EA-18G Growler ialah pesawat peperangan elektronik khusus yang dibangunkan oleh Boeing berasaskan platform F A 18F Super Hornet. Ia direka untuk menggantikan EA-6B Prowler yang telah berkhidmat sejak era Perang Dingin.

Penerbangan sulung Growler berlangsung pada Ogos 2006 dan ia mula beroperasi secara rasmi bersama Tentera Laut Amerika Syarikat pada 2009.

Peranan utama Growler adalah melaksanakan serangan elektronik, termasuk mengganggu radar, sistem komunikasi dan rangkaian kawalan pertahanan udara musuh. Pesawat ini membawa sistem pengacau AN ALQ 99 dan kini sedang dinaik taraf dengan sistem generasi baharu Next Generation Jammer yang lebih berkuasa.

Selain itu, Growler juga boleh membawa peluru berpandu AGM 88 HARM yang direka khusus untuk menyerang radar musuh, menjadikannya aset penting dalam misi penindasan pertahanan udara musuh.

Walaupun fokusnya adalah peperangan elektronik, Growler masih mampu membawa peluru berpandu udara ke udara seperti AIM 120 AMRAAM dan AIM 9 bagi mempertahankan diri.

Keunikan Growler terletak pada kemampuannya untuk menyokong operasi bersama. Ia bertindak sebagai perisai elektronik kepada pesawat lain, membolehkan jet pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter beroperasi dalam persekitaran berisiko tinggi tanpa dikesan atau dikunci radar musuh.

Sistem pertahanan udara S-300 buatan Rusia milik Venezuela yang dipercayai terjejas semasa operasi ketenteraan Amerika Syarikat di sekitar Caracas, mencerminkan kerentanan pertahanan udara konvensional apabila berdepan peperangan elektronik moden. Foto: Reddit

Pertembungan teknologi: Growler vs S-300VM

S-300VM ialah sistem pertahanan udara jarak jauh buatan Rusia yang direka untuk memintas pesawat, peluru berpandu kruis dan sasaran balistik.

Sistem ini sering digambarkan sebagai antara aset pertahanan udara paling berbahaya di dunia, dengan keupayaan radar berbilang lapisan dan peluru berpandu berkelajuan tinggi.

Namun, kehebatan S-300VM sangat bergantung kepada keupayaan radar dan rangkaian kawalannya. Di sinilah Growler memainkan peranan kritikal.

Dengan mengganggu frekuensi radar dan pautan data, Growler boleh menyebabkan sistem seperti S-300VM kehilangan keupayaan mengesan sasaran sebenar, atau lebih buruk lagi, menerima maklumat palsu.

Menurut laporan The Wall Street Journal dan Air and Space Forces Magazine, pesawat Growler yang terlibat dalam Operasi Absolute Resolve digunakan untuk menyekat dan mengelirukan sistem pertahanan udara Venezuela, sekali gus menafikan keupayaan S-300VM untuk bertindak balas secara berkesan.

Kronologi serangan elektronik

Berdasarkan laporan Reuters, operasi tersebut bermula dengan penempatan pesawat peperangan elektronik dan aset sokongan di ruang udara antarabangsa berhampiran Venezuela. Growler beroperasi dari jarak selamat, menggunakan gangguan elektronik jarak jauh bagi melumpuhkan radar pengawasan dan radar kawalan tembakan.

Apabila sistem pertahanan udara mula kehilangan keupayaan pengesanan, pesawat lain termasuk helikopter khas dan pesawat pengangkut memasuki ruang udara Caracas.

Sepanjang tempoh ini, Growler terus melaksanakan jamming berterusan bagi memastikan tiada pemulihan sistem atau tindak balas balas oleh pertahanan udara tempatan.

Media antarabangsa melaporkan bahawa operasi ini berlangsung dalam tempoh yang singkat tetapi sangat terkoordinasi, menunjukkan tahap integrasi tinggi antara peperangan elektronik, risikan dan operasi khas.

EA-18G Growler melambangkan pendekatan peperangan moden Amerika Syarikat, sentiasa bersedia untuk menguasai ruang udara bukan melalui kekuatan tembakan, tetapi melalui penguasaan spektrum elektromagnet. Foto: U.S. Navy

Dominasi tanpa letupan

Keberkesanan Growler dalam operasi ini memberi mesej jelas kepada dunia bahawa pertahanan udara canggih sekali pun boleh dineutralkan tanpa satu pun peluru dilepaskan.

Ia menonjolkan hakikat bahawa dominasi udara hari ini bukan semata-mata ditentukan oleh kelajuan atau senjata, tetapi oleh penguasaan spektrum elektromagnet.

Bagi negara yang bergantung sepenuhnya kepada sistem pertahanan udara statik, perkembangan ini membawa implikasi strategik yang besar. Kehadiran pesawat ini juga mengukuhkan kedudukan AS dalam peperangan elektronik sebagai komponen teras dalam doktrin ketenteraan moden.

Peperangan alaf baharu yang senyap tetapi maut

Operasi Absolute Resolve memperlihatkan wajah sebenar peperangan alaf baharu, senyap, pantas dan mematikan tanpa letupan besar. EA-18G Growler menjadi simbol bagaimana peperangan kini dimenangi melalui maklumat, gangguan dan penguasaan teknologi, bukan semata-mata kekuatan tembakan.

Dalam dunia yang semakin tidak menentu, keupayaan seperti ini bukan sahaja menentukan kejayaan operasi ketenteraan, tetapi juga membentuk keseimbangan kuasa global. Peperangan mungkin semakin senyap, tetapi kesannya jauh lebih mendalam dan berpanjangan.-airtimes.my

#AirTimes #TeknologiPertahanan #EA18GGrowler #OperasiAbsoluteResolve #S300 #USNavy

Related Articles

Leave a Reply