KUALA LUMPUR, 16 JAN – Tugas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan kini dilaksanakan oleh Mejar Jeneral Dato’ Saharudin Harun bagi menerajui Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) menggantikan Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Razali Alias yang mula bercuti untuk bersara mulai 1 Januari 2026.
Majlis serah terima tugas telah diadakan pada awal Januari di Padang Kawad MDIO dan disaksikan oleh Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain, Pemangku Panglima Angkatan Tentera Malaysia.
Saharudin, anak kelahiran Kluang, Johor memulakan kariernya sebagai pegawai tentera Kor Risik Diraja pada tahun 1988 sebagai Leftenan Muda. Sepanjang hampir 40 tahun perjalanan karier beliau , Saharudin berpengalaman luas di dalam pelbagai disiplin perisikan bermula peringkat tempur sehinggalah ke peringkat strategik.
Selain itu, Saharudin pernah memikul amanah negara dalam misi pengaman di Bosnia Herzegovina dan turut menjadi elemen penting dalam memelihara kedaulatan negara termasuk Malaysia Timur khususnya semasa menjawat jawatan sebagai Pegawai Perisikan Tentera Sabah dan Asisten Ketua Staf Perisikan ATM ESSCOM.
Terdahulu, beliau merupakan diplomat di Kedutaan Malaysia di Filipina bagi tujuan mengukuhkan hubungan diplomatik antara negara dan antarabangsa. Jawatan terakhir yang disandang oleh Saharudin adalah Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, yang sekaligus melayakkan beliau untuk dipilih meneruskan kepimpinan di MDIO.
Pelantikan ini juga dilihat sebagai langkah bijak Kementerian Pertahanan dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara yang kini berdepan pelbagai cabaran keselamatan. Faktor karakter dan kepercayaan yang diberikan kepada beliau mencerminkan keperluan kepimpinan yang tegas, berdisiplin serta mampu memulihkan keyakinan dan keupayaan institusi perisikan pertahanan negara.
MDIO berakar umbi daripada Bahagian Staf Perisikan Pertahanan yang ditubuhkan pada 1 Oktober 1981 bagi menggantikan Direktorat Perisikan Bersama. Misi awal penubuhannya adalah jelas, iaitu untuk mengumpul dan menghasilkan risikan bagi mengekang ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) semasa Insurgensi.
Seiring penstrukturan semula MDIO pada tahun 2022, peranan organisasi ini kini melangkaui pengumpulan maklumat ketenteraan semata-mata khususnya dalam menghadapi krisis keselamatan fizikal dan ancaman bukan kinetik dalam pelbagai domain. MDIO turut memainkan fungsi strategik dalam operasi psikologi, pembinaan patriotisme, serta pengukuhan hubungan antara rakyat dan angkatan tentera.
Ini menandakan peralihan pendekatan keselamatan negara daripada reaktif kepada lebih menyeluruh dan berorientasikan pengaruh strategik.
Secara keseluruhan, pelantikan Saharudin menerajui MDIO mencerminkan kesinambungan usaha Angkatan Tentera Malaysia untuk menyesuaikan struktur perisikan dengan realiti ancaman semasa.
Kejayaannya bakal diukur bukan sahaja melalui kecekapan risikan, tetapi juga sejauh mana MDIO mampu menjadi benteng ideologi dan psikologi dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia. – airtimes.my
