Home GlobalRusia tingkatkan ancaman ‘zon kelabu’ di Laut Baltik – Denmark

Rusia tingkatkan ancaman ‘zon kelabu’ di Laut Baltik – Denmark

by M.Daim
A+A-
Reset

COPENHAGEN, 5 OKT – Perkhidmatan Risikan Pertahanan Denmark (DDIS) mendedahkan bahawa kapal perang Rusia berulang kali melakukan provokasi terhadap aset tentera dan keselamatan maritim di Selat Denmark yang menghubungkan Laut Baltik dengan Laut Utara.

Dalam laporan terbarunya, DDIS menyatakan bahawa beberapa insiden direkodkan melibatkan kapal dan helikopter Tentera Denmark yang telah dipancar dengan radar serta diacukan senjata oleh kapal perang Rusia semasa melalui laluan antarabangsa tersebut.

“Kami telah menyaksikan beberapa kejadian di mana helikopter tentera udara dan kapal Tentera Laut Denmark disasarkan oleh radar penjejak serta senjata dari kapal perang Rusia,” kata Pengarah DDIS, Thomas Ahrenkiel, pada sidang media di Copenhagen.

Beliau turut mendedahkan bahawa kapal perang Rusia mengemudi haluan hampir bertembung dengan kapal Denmark semasa melalui perairan negara itu. Selain itu, sebuah kapal Rusia dilaporkan berlabuh di kawasan perairan Denmark selama lebih seminggu.

Menurut DDIS, situasi itu menunjukkan kemungkinan Moscow cuba mempengaruhi tindak balas Denmark terhadap pergerakan “shadow fleet”, iaitu armada kapal tangki yang digunakan Rusia bagi mengelak sekatan Barat terhadap eksport minyaknya.

Laporan itu turut mendedahkan penggunaan peralatan sonar dan sistem gangguan elektronik oleh kapal Rusia, yang disyaki menyebabkan gangguan besar terhadap sistem navigasi dan isyarat GPS di kawasan sekitar Selat Denmark.

“Kami menilai bahawa Rusia kini melaksanakan peperangan hibrid terhadap Denmark dan Barat. Mereka menggunakan keupayaan ketenteraan secara agresif untuk memberi tekanan tanpa mencetuskan konflik bersenjata secara terbuka,” jelas Ahrenkiel.

Menurut DDIS, tiada ancaman ketenteraan langsung terhadap Denmark buat masa ini, namun provokasi berterusan itu meningkatkan risiko salah tafsir yang boleh mencetuskan insiden di rantau Baltik.

Ketegangan di Laut Baltik terus meningkat sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022, dengan siri insiden melibatkan kerosakan kabel dasar laut, pelanggaran ruang udara, serta gangguan dron dan isyarat navigasi. Denmark, sebagai penyokong tegar Ukraine, telah meningkatkan bajet pertahanannya dan berhasrat memperoleh sistem persenjataan jarak jauh bagi memperkukuh pertahanan wilayah.

Perdana Menteri Mette Frederiksen baru-baru ini turut menyifatkan siri pencerobohan dron ke atas lapangan terbang dan kem tentera sebagai bentuk serangan hibrid terhadap negaranya. Menteri Pertahanan, Troels Lund Poulsen, pula mengesahkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply