BALTIMORE, 7 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) secara rasmi menerima kapal Ex-United States Coast Guard (USCG) Cutter Steadfast dalam di Waterfront Operation Training Center (WOTC), Amerika Syarikat, pada Sabtu.
Timbalan Ketua Pegawai Pemerolehan dan Pengarah Perkhidmatan Domain & Integrasi USCG, James Knight, berkata kapal yang ditauliahkan pada 1968 itu telah berkhidmat selama 56 tahun dengan cemerlang sebelum diserahkan kepada Malaysia.
Ujarnya, kehadiran kapal ini dalam armada Maritim Malaysia diharap mampu memperkukuh keselamatan maritim negara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah, menyifatkan penerimaan kapal berkenaan sebagai detik bersejarah buat Malaysia.
“Ex-USCG Cutter Steadfast bukan sahaja memperkukuh keupayaan operasi, malah menjadi simbolik kepada kerjasama strategik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS). Tahniah saya ucapkan kepada semua kru yang menamatkan latihan dengan penuh dedikasi,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan, kapal tersebut bakal memulakan pelayaran sulungnya dengan kru baharu, merentasi Lautan Atlantik, Mediterranean, Laut Merah, Terusan Suez dan Lautan Hindi.
“Pelayaran ini akan menjadi yang paling jauh dan paling lama dalam sejarah Maritim Malaysia,” tambah kenyataan berkenaan.

Kapal Ex-United States Coast Guard (USCG) Cutter Steadfast secara rasmi serahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (FOTO: MARITIM MALAYSIA)
Mengulas lanjut, aset baharu ini dijangka meningkatkan kemampuan Maritim Malaysia dalam melindungi zon maritim negara, selain membuka ruang kerjasama lebih luas dengan Amerika Syarikat dalam aspek latihan, pertukaran teknikal dan pembangunan kapasiti.
Terdahulu, seramai 50 kru terdiri daripada sembilan pegawai dan 41 anggota Maritim Malaysia menerima Sijil Tamat Latihan selepas berjaya menamatkan program intensif tujuh minggu bagi pengoperasian 210’ Reliance Class Medium Endurance Cutter (MEC).
Majlis itu menyaksikan James Knight menandatangani sijil penyerahan kapal sebelum disampaikan kepada Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah, dengan disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman. –airtimes.my
#airtimes #MaritimMalaysia #USCG #KeselamatanMaritim #KapalPeronda #MalaysiaUS #AsetBaharu
