Firma aeroangkasa dan pertahanan antarabangsa kini mempunyai peluang untuk bersaing bagi pasaran baharu di Malaysia sekiranya perolehan pesawat F/A-18 Hornet terpakai Kuwait tidak menjadi. Ini berikutan keputusan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mempertimbangkan opsyen lain mbagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan udara dan kedaulatan negara tidak terjejas.
Pada sudut ekonomi pertahanan, ia satu keputusan yang menjadi berita gembira kepada pihak industri apabila peluang terbuka untuk mencuba nasib. Dalam persaingan bagi pasaran industri aeroangkasa yang sengit, semua pihak semestinya berhak untuk bersaing dan pada masa sama merebut pai ekonomi tersebut.

Status F/A-18 Hornet Kuwait masih lagi menjadi tanda tanya. Foto: USCENTCOM
Walaupun belum ada gambaran apakah pesawat pengganti yang sesuai, persoalan juga timbul adakah TUDM masih mahukan pesawat sementara sebagai ‘stop gap’ sebelum melaksanakan program transformasi masa hadapan? Jika penggantian Hornet terpakai Kuwait adalah bersifat sementara, maka pesawat yang ingin dimiliki berkemungkinan bersifat jangka pendek atau dalam tempoh tertentu sahaja.
Sekiranya begitu, apakah kerajaan hendak memilih pendekatan sewaan juga pada pesawat tempur sementara ini sepertimana projek sewaan helikopter pengangkut? Konsep sewaan pesawat untuk ATM dan pasukan keselamatan lain melalui kendalian syarikat swasta kini telah menjadi pendekatan kerajaan. Justeru, sekiranya opsyen untuk menyewa pesawat tempur dibuat maka ia tidak lagi dilihat sebagai luar daripada kebiasaan.
Dalam keputusan menyewa 28 buah helikopter misalnya, kerajaan menyifatkan ia adalah keputusan yang baik bagi jangka panjang apabila harga sewaan meliputi kos operasi, selenggaraan dan juga insurans. Ketika ini cuma firma aeroangkasa Saab dari Sweden menawarkan sewaan pesawat tempur iaitu Saab Gripen yang mana opsyen tersebut juga dikatakan pernah dibuat kepada kerajaan Malaysia semasa bersaing untuk merebut kontrak MRCA 15 tahun lalu.

Malaysia pernah diberikan opsyen pakej sewa beli oleh SAAB pada satu ketika dahulu. Foto: SAAB
Republik Czech misalnya telah menjadi pelanggan Saab sejak 20 tahun lalu apabila menggunakan pesawat Saab Gripen secara sewaan dalam melaksanakan program pemodenan tentera udara. Sebanyak 12 buah pesawat Saab Gripen disewa bagi menggantikan pesawat MiG-21 era Soviet. Sepanjang tempoh tersebut, pihak Saab turut melaksanakan program pemodenan apabila pesawat-pesawat yang disewakan ini menjalani proses naik taraf sekali gus meningkatkan keupayaan tempurnya.
Terbaru, Republik Czech bersetuju melanjutkan kontrak sewaan pesawat-pesawat Saab Gripen C/D ini sehingga 10 tahun lagi sebelum beralih kepada pesawat F-35. Keputusan ini sebagai langkah ‘stop gap’ bagi memberi persediaan tentera udara republik tersebut memasuki era pesawat tempur Gen 5.
Begitu juga Tentera Udara Hungary yang mengoperasikan 14 buah pesawat Saab Gripen C/D secara sewaan sejak 2006. Mengikut syarat kontrak tersebut, kesemua pesawat Saab Gripen ini menjadi milik Hungary apabila kontrak tamat pada 2026. Tahun lalu, Hungary telah melanjutkan lagi kontrak sewaan ini apabila menambah empat buah pesawat baharu menjadikan 18 buah kesemua.

Langkah demi langkah… Republik Czech memilih untuk sewa Gripen sebelum melangkah ke hadapan untuk operasikan jet pejuang F-35 pada 2031. Foto: SAAB
Sehubungan itu, dalam langkah strategik bagi memperkukuh keupayaan tempur udara negara sambil mengoptimumkan perbelanjaan pertahanan, opsyen sewaan mungkin boleh diambil kira.
Langkah ini selari dengan amalan antarabangsa yang semakin popular, di mana negara-negara memanfaatkan khidmat sewaan sebagai penyelesaian interim yang fleksibel dan menjimatkan kos. Ini khususnya dalam tempoh peralihan atau penstrukturan semula aset ketenteraan.
Dalam membuat tawaran, dipihak Saab pula ada mempunyai kelebihan kerana firma ini sejak dekad lalu turut menawarkan pesawat radar pengawasan dan amaran udara (AEW&C) Erieye kepada Malaysia. Sekiranya pakej sewaan turut melibatkan pesawat AEW&C, ini bukan sekadar bonus, malah melonjakkan ketahanan ruang angkasa negara. Dalam dekad sekarang, pesawat AEW&C bukan lagi peralatan mewah sebaliknya perlu sebagai pelengkap pertahanan udara.

AEW&C adalah salah satu elemen penting dalam memastikan operasi pertahanan udara sesebuah negara berjaya. Foto: SAAB
Model sewaan seperti yang digunakan oleh Republik Czech dan Hungary membolehkan negara memperoleh keupayaan jet tempur moden tanpa keperluan perolehan modal yang besar pada fasa awal. Ia juga memberi ruang untuk latihan, penyelenggaraan dan pemindahan teknologi secara lebih tersusun.
Pendekatan sewaan kini dilihat lebih pragmatik, khususnya memandangkan MINDEF telah memulakan program penggantian pesawat Hawk 208 melalui projek LCA/FLIT FA-50M dari Korea Selatan. Skim sewaan jet tempur boleh berfungsi sebagai ‘stop gap’ antara keperluan semasa dan perolehan jangka panjang, sambil memastikan keupayaan pertahanan udara negara tidak terjejas.

Gripen mungkin kelihatan ‘underdog’ tetapi jet pejuang ini mempunyai reputasinya yang tersendiri. Foto: SAAB
Jika dilaksanakan dengan telus dan berdasarkan keperluan operasi sebenar, sewaan pesawat tempur boleh menjimatkan kos dan mempercepat kesiapsiagaan. Pada masa sama ia juga masih boleh memberi peluang kepada industri pertahanan tempatan untuk menjalinkan kerjasama dan pemindahan teknologi. – airtimes.my
