KUALA LUMPUR, 7 SEPTEMBER – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) siri 3/2025 mencatatkan peningkatan penyertaan secara sukarela yang ketara, sekali gus menepis tanggapan bahawa generasi muda tidak berminat menyertai program kenegaraan itu.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, lebih separuh daripada jumlah pelatih yang hadir kali ini datang atas inisiatif sendiri, melebihi 50 peratus daripada keseluruhan penyertaan.
“Kalau ikut peratusan daripada sukarelawan ini, memang ada peningkatan yang tinggi, melebihi daripada 50 peratus. Pada awalnya, kami (JLKN) menyasarkan ramai yang sertai secara undian rawak atau balloting. Namun, ada banyak permohonan yang datang daripada kategori sukarelawan, melebihi 50 peratus daripada yang lepas,
“Jadi, kami (JKLN) menerima permohonan tersebut sehinggalah penempatan kami ini cukup sepenuhnya. InsyaAllah, kesemua pelatih itu boleh disantuni dengan baik,” ujarnya ketika ditemui pada sesi pendaftaran pelatih PLKN 3.0 Siri 3/2025 di Rejimen 515 Askar Wataniah, hari ini.
Beliau menjelaskan, ramai antara peserta siri ini hadir atas dorongan keluarga atau rakan yang pernah mengikuti PLKN sebelum ini, sekali gus membuktikan keberkesanan maklum balas positif terhadap program berkenaan.
Sementara itu, bagi memastikan lebih ramai belia mendapat peluang menjalani latihan ini, PLKN bakal diperluas tahun depan dengan penambahan 10 kem baharu termasuk di Gemas, Tawau dan Kuching.
Ujar Ya’cob, kapasiti pelatih dijangka meningkat kepada 8,000 hingga 9,000 orang, tidak termasuk program di universiti, politeknik dan institut pendidikan guru (IPG).
“Tahun depan memang ada penambahan kem. Untuk siri 1/2026, kita (JLKN) ada penambahan kem di Gemas. Selepas itu, ada lagi 9 lagi yang akan dibuka secara berfasa termasuk di Sabah dan Sarawak,
“Di dalam kem sahaja, JLKN menyasarkan terdapat 8,000 hingga 9,000 orang pelatih pada tahun hadapan. Dengan kapasiti itu, sebenarnya nilai itu tidak sepenuhnya. Jika sepenuhnya beroperasi, kita mampu menempatkan sehingga 25,000 pelatih setahun,” tambah beliau.
Terdahulu, setakat jam 12 tengah hari, seramai 529 wiramuda PLKN 3.0 Siri 3/2025 telah melaporkan diri di dua kem Askar Wataniah yang terpilih pada siri percubaan terakhir tahun ini.
Antara yang mendaftar termasuklah 279 pelatih lelaki mendaftar di Kem 505, Pekan Pahang, manakala 250 pelatih wanita di Kem 515, Kuala Lumpur
Dalam pada itu, JLKN turut membuka pendaftaran sehingga esok bagi memberi ruang kepada peserta yang menghadapi masalah untuk hadir pada hari pertama. Kelonggaran ini diberikan khususnya kepada pelatih yang datang dari lokasi jauh dan memerlukan masa tambahan untuk sampai ke kem. -airtimes.my
#PLKN #JLKN #airtimes #belia #WiraMuda #Pertahanan
