SINGAPURA, 14 Julai – Skuadron Ke-120 Tentera Udara Republik Singapura (120 Sqn RSAF), pasukan helikopter penyerang utama negara itu sekali lagi membuktikan keunggulan apabila diumumkan sebagai Skuadron Helikopter Terbaik 2025.
Ini merupakan gelaran juara yang diterima buat kali kelima berturut-turut sejak 2021.
120 Sqn RSAF merupakan satu-satunya yang mengoperasikan helikopter penyerang AH-64D Apache Longbow dalam cabang udara republik itu.
Pastinya rekod yang dicapai ini cerminan disiplin tinggi, kerjasama utuh dan semangat kental seluruh pasukan.
Skuadron yang berpangkalan di Pangkalan Udara Sembawang ini juga menjadi lambang kecemerlangan operasi udara Singapura.
RSAF mempunyai lima buah skuadron helikopter iaitu 120 Squadron, 123 Squadron, 125 Squadron, 126 Squadron dan 127 Squadron.
Setiap skuadron mengoperasikan pesawat yang berbeza iaitu AH-64D Apache Longbow (120 Sqn), S-70B Seahawk (123 Sqn) dan Airbus H225M (125 Sqn).
Dua skuadron seterusnya iaitu 126 Sqn dan 127 Sqn masing-masing mengoperasikan helikopter pengangkut CH-47D dan CH-47SD Chinook.
Sebagai sebuah skuadron helikopter penyerang, 120 Sqn mempunyai sejarah operasi yang panjang.
Singapura membeli helikopter AH-64D Apache Longbow pada tahun 1990an dengan lapan buah yang pertama diterima pada 1999.
Ini diikuti dengan perolehan tambahan sebanyak 12 pesawat lagi pada 2001 menjadikan kesemuanya 20 buah Apache dimiliki RSAF.
Daripada jumlah ini 12 buah di Singapura manakala satu detasmen Apache di Arizona, Amerika Syarikat bagi kegunaan latihan.
Detasmen Peace Vanguard ini telah ditempatkan di sana sejak 2001.
Pembelian helikopter penyerang Apache telah melonjakkan keupayaan Singapura sebagai kuasa udara paling ampuh di rantau Asia Tenggara.
120 Sqn merupakan skuadron helikopter yang pertama dalam perkhidmatan RSAF.
Ia ditubuhkan pada tahun 1969 sebagai sebahagian daripada inisiatif pertahanan Singapura selepas pengunduran tentera British dari rantau ini.
Ketika itu, negara pulau ini menyedari keperluan segera untuk membina angkatan tentera sendiri bagi melindungi kedaulatannya.
Skuadron ini memainkan peranan penting sejak penubuhannya bermula dengan helikopter Alouette sebelum beralih kepada helikopter penyerang canggih AH-64D Apache Longbow.
Keupayaan 120 SQN mengendalikan misi tempur dan sokongan dengan kepakaran tinggi menjadikannya contoh terbaik latihan, teknologi dan nilai ketenteraan moden. L
Skuadron ini bukan sekadar unit tempur, ia adalah lambang kemegahan, warisan dan cita-cita tinggi sebuah negara yang sentiasa bersedia.
Selain Singapura, negara lain yang mempunyai helikopter penyerang di rantau ini adalah Indonesia (AH-64 Apache), Filipina (T129 ATAK) manakala Thailand mengoperasikan helikopter lama AH-1F Cobra.
Malaysia hampir menjadi pengguna helikopter penyerang apabila bersetuju membeli lapan buah helikopter CSH-2 Rooivalk dari Afrika Selatan pada tahun 1997, malangnya ia dibatalkan kemudian. – airtimes.my
