Home SemasaAirbus teroka peluang tambah A400M dalam armada TUDM

Airbus teroka peluang tambah A400M dalam armada TUDM

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

LANGKAWI, 22 MEI – Airbus Defence and Space (Airbus) kini sedang meneliti kemungkinan untuk menambah bilangan pesawat pengangkut strategik A400M dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Langkah berkenaan selaras dengan peningkatan kadar operasi serta keperluan masa depan dalam penyepaduan sistem pertahanan udara negara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Asia-Pasifik Airbus, Zakir Hamid, ketika ditemui di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang sedang berlangsung.

“Tahun ini menandakan 10 tahun operasi A400M bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), satu pencapaian penting yang mencerminkan kebolehpercayaan dan kepelbagaian pesawat ini. Dengan lebih 13,000 jam penerbangan, TUDM kini merupakan pengendali A400M paling aktif di dunia.

“Airbus juga sedang meneroka kemungkinan untuk menambah bilangan A400M dalam armada TUDM, sejajar dengan kadar operasi yang semakin meningkat serta pengintegrasian pesawat pejuang canggih,” ujar Zakir.

Tegasnya, Malaysia merupakan negara pertama yang menerima A400M sebagai pelanggan eksport dan kini mengoperasikan empat buah pesawat tersebut.

“Malaysia kekal sebagai pasaran ketiga terbesar Airbus di Asia Pasifik, selepas China dan India. Bagi Airbus Defence dan Space, tonggak utama dalam perkongsian ini ialah program A400M, di mana Malaysia memainkan peranan perintis sebagai pelanggan eksport pertama di dunia,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, keupayaan luar biasa A400M dalam perkhidmatan TUDM telah terbukti melalui penglibatan aktif dalam pelbagai misi taktikal dan strategik.

Antaranya, operasi ketenteraan, Air-to-Air Refueling, Medical Evacuation (MEDEVAC), penglibatan dalam eksesais bersama negara-negara luar serta Humanitarian Assistance Disaster Relief (HADR) seperti gempa bumi di Palu dan pandemik COVID-19.

Pesawat ini berkeupayaan membawa muatan sehingga 37 tan sejauh 2,400 batu nautika, boleh beroperasi dari landasan tidak berturap, serta melakukan pemindahan bahan api udara-ke-udara. Ia sekaligus menjadikannya antara aset paling berharga dalam armada udara negara.

Sejajar dengan itu, Airbus turut mengumumkan peluasan kontrak sokongan dalam perkhidmatan bagi armada A400M TUDM. Perjanjian tersebut merangkumi penambahan alat ganti, perkhidmatan baik pulih serta naik taraf sistem bagi memastikan kesiapsiagaan operasi berterusan.

Untuk rekod, sejarah pengoperasian A400M dalam TUDM bermula pada 5 Januari 2015 apabila pesawat tersebut mula diperoleh dan dioperasikan oleh No 22 Skuadron. Namun, pada 2022, tanggungjawab tersebut secara rasmi diserahkan kepada No 8 Skuadron, hasil penstrukturan semula organisasi TUDM.

Ketika ini, Malaysia memiliki sudah 4 buah A400M yang masih aktif dalam inventori TUDM.

Dalam perkembangan berasingan, Indonesia dijangka menerima pesawat A400M pertamanya pada suku keempat tahun ini. Airbus memaklumkan bahawa pesawat berkenaan telah siap dicat dan kini menjalani ujian bahan api serta ujian darat, manakala pesawat kedua sedang melalui proses pemasangan struktur. – airtimes.my

#AirTimes #Airbus #TUDM #A400M

Related Articles

Leave a Reply