Home Teknologi PertahananEmbraer intai potensi pasaran pesawat pengangkut KC-390 Millennium

Embraer intai potensi pasaran pesawat pengangkut KC-390 Millennium

by Zaki Salleh
A+A-
Reset
LANGKAWI, 22 MEI – Embraer, peneraju global dalam industri aeroangkasa melihat potensi untuk meneroka peluang menembusi pasaran pengangkutan udara taktikal pelbagai misi.
Hadir pada LIMA 2025, Embraer mempamerkan pesawat KC-390 Millennium yang juga pesawat pengangkut taktikal paling canggih dalam kelasnya.
Ini merupakan kehadiran kali pertama Embraer KC-390 Milenium ke Malaysia sekali gus meletakkan kepentingan LIMA dalam senarai destinasi pemasarannya.
Pesawat pelbagai misi generasi baharu canggih yang mula beroperasi pada tahun 2019 ini mentakrifkan semula konsep pesawat pengangkutan sederhana di seluruh dunia.
Timbalan Presiden, Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Asia Pasifik dan Timur Tengah Embraer Defense & Security, Caetano Neto berkata, KC-390 ialah pesawat pelbagai misi generasi baharu yang direka dan dibina untuk memenuhi permintaan persekitaran operasi abad ke-21.
Menurut beliau, sebanyak 42 buah pesawat KC-390 Millennium Embraer dijual dengan 10 pesawat telah pun digunakan oleh negara-negara pembeli.
“Pesawat ini telah pun digunakan tentera udara  Brazil, Portugal dan Hungary dan juga telah ditempah oleh Korea Selatan, Belanda, Austria, Republik Czech dan pelanggan yang tidak didedahkan.
“Baru-baru ini, pesawat tersebut telah dipilih oleh Sweden dan Slovakia untuk keperluan pertahanan negara masing-masing.
“KC-390 Millennium Embraer pantas menjadi pesawat pilihan termasuk Eropah yang menyumbang kepada pemodenan angkatan bersenjata di sana,” ujarnya pada sesi penerangan khas tentang pesawat KC-390 kepada media.
Dengan rekaan dan ciri-ciri serba moden, KC-390 dilengkapi dengan sistem penderia dan peralatan  komunikasi moden dan komprehensif yang menyokong ketersambungan penting antara pesawat, arahan operasi dan tentera di darat.
Selain itu, KC-390 mempunyai sistem peperangan elektronik bersepadu yang mantap dan sistem perlindungan pesawat.
Jelas Caetano, keupayaan pelbagai misi dan kebolehoperasian telah terbina dalam reka bentuknya, membolehkan pesawat bersedia untuk memikul semua profil misi tentera udara.
“Ia boleh membawa beban sehingga 26 tan atau 80 anggota tentera, 66 tentera payung terjun, 74 pengusung sebagai ambulans udara selain kenderaan seperti 3 buah bersaiz Humvee, sebuah helikopter Blackhawk dan kenderaan perisai.
“Pesawat tersebut adalah yang paling canggih dalam kelasnya dan terbang lebih pantas (470kts).
“Ia juga membawa lebih banyak kargo (26 tan) berbanding pesawat kargo tentera bersaiz sederhana yang lain dijana enjin berkuasa IAE V2500,” ujarnya.
Dalam pasaran global, KC-390 bersaing dengan pesawat Hercules C-130J.
Fokus Embraer adalah untuk menembusi pasaran negara pengguna yang berpotensi untuk menggantikan pesawat pengangkut taktikal generasi lama. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply