369
LANGKAWI, 22 MEI – Cadangan perolehan kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4×4) Tarantula Tentera Darat Malaysia semakin hampir apabila persediaan mendapatkan komponen penting iaitu persenjataan dibuat.
MILDEF International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) telah memilih ASELSAN, syarikat teknologi pertahanan utama dari Turkiye sebagai rakan strategik.
Hari kedua LIMA 2025 menyaksikan MILDEF dan ASELSAN menandatangani perjanjian kerjasama strategik (Teaming Agreement) bersama.
Ia menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kerjasama pertahanan dua hala khususnya dalam integrasi teknologi tinggi pada HMAV Tarantula 4×4.
Sepertimana diketahui, HMAV Tarantula direka bentuk dan dibangunkan sepenuhnya MILDEF untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia.
Kerjasama ini turut merangkumi aspek penjimatan kos dan pemindahan teknologi yang memberi nilai tarmbah kepada pembangunan industri pertahanan tempatan.
Melalui perjanjian tersebut, MILDEF bertindak sebagai kontraktor utama dan penyedia platform kenderaan.
Pihak ASELSAN berperanan sebagai rakan teknologi utama yang akan membekal sistem persenjataan kawalan jauh (RCWS), sistem komunikasi, sensor elektro-optik, serta sistem kawalan dan arahan.
Perjanjian ini turut memperincikan komitmen eksklusif kedua-dua pihak dalam menyediakan cadangan teknikal dan komersial secara bersama kepada kerajaan Malaysia.
Ini merangkumi prinsip-prinsip kerjasama daripada segi tanggungjawab, kerahsiaan, pematuhan peraturan dan perlindungan kepentingan bersama.
Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian bersama ini dimeterai antara Pengarah Urusan MILDEF, Dato’ Sri Mohd Nizam Kasa dan Pengurus Besar, Salimuhar Ali.
ASELSAN diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmet Akyol dan Naib Presiden, Zekeriyya Sahin.
Ia disaksikan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Lokman Hakim Ali.
Kerjasama ini mencerminkan sinergi antara keupayaan industri tempatan dan kepakaran teknologi global.
Ia selaras dengan aspirasi Malaysia untuk membina ekosistem pertahanan yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.