if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Bajet ketenteraan global naik mendadak, paling tertinggi dalam sejarah

Bajet ketenteraan global naik mendadak, paling tertinggi dalam sejarah

by Suraya Aziz

STOCKHOLM, 29 APRIL – Perbelanjaan ketenteraan global melonjak kepada RM11.9 trilion (USD 2,718 bilion) pada tahun 2024, mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 9.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kenaikan ini sekali gus meletakkan tahun 2024 sebagai rekod tahunan tertinggi sejak berakhirnya era Perang Dingin.

Menurut laporan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), ini merupakan tahun ke-10 berturut-turut dunia menyaksikan pertumbuhan dalam bajet ketenteraan, dengan semua 15 negara pembelanja utama meningkatkan peruntukan masing-masing.

Malah, lebih membimbangkan, beban ketenteraan global kini melonjak kepada 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

“Lebih 100 negara meningkatkan perbelanjaan ketenteraan mereka pada tahun ini. Keutamaan yang diberikan terhadap sektor keselamatan ketenteraan, sering kali dengan mengorbankan bidang lain seperti pendidikan dan kesihatan, boleh membawa kesan ekonomi dan sosial jangka panjang kepada masyarakat,” jelas SIPRI.

NATO kekal dominasi perbelanjaan ketenteraan global

Mengulas lanjut, seiring dengan perkembangan ini, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kekal sebagai blok utama yang mendominasi landskap ketenteraan dunia.

Kesemua 32 negara anggotanya telah meningkatkan bajet pertahanan masing-masing, dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan mencecah RM6.59 trilion (USD 1,506 bilion), atau bersamaan 55 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan ketenteraan global.

Lebih menarik lagi, sebanyak 18 negara NATO kini membelanjakan sekurang-kurangnya 2 peratus daripada KDNK mereka untuk pertahanan, berbanding hanya 11 negara pada tahun sebelumnya.

Selain NATO, benua Eropah termasuk Rusia turut merekodkan pertumbuhan ketara dalam perbelanjaan ketenteraan. Kadar peningkatan sebanyak 17 peratus telah membawa jumlah perbelanjaan kepada RM3.04 trilion (USD 693 bilion), sekali gus menjadikan Eropah sebagai salah satu penyumbang utama kepada lonjakan ketenteraan global pada tahun 2024.

Sementara itu, rantau Timur Tengah pula mencatatkan peningkatan perbelanjaan sebanyak 15 peratus iaitu sekitar RM1.06 trilion (USD 243 bilion) setakat tahun lalu.

“Walaupun ramai menjangkakan banyak negara Timur Tengah akan meningkatkan perbelanjaan ketenteraan, peningkatan besar hanya berlaku di Israel dan Lubnan,” ujar SIPRI.

Di rantau Asia Pasifik, China, sebagai pembelanja tentera kedua terbesar dunia, meningkatkan perbelanjaannya sebanyak 7 peratus pada 2024, bersamaan RM1.38 trilion (USD 314 bilion), yang merangkumi 50 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan ketenteraan di Asia dan Oceania.

Negara lain turut menunjukkan pertumbuhan signifikan, termasuk Jepun dengan peningkatan 21 peratus (USD 55.3 bilion), India 1.6 peratus (USD 86.1 bilion), dan Taiwan 1.8 peratus (USD 16.5 bilion).

Konflik dan ketegangan faktor lonjakan perbelanjaan ketenteraan global

Secara keseluruhan, lonjakan dramatik dalam perbelanjaan ketenteraan ini dipacu oleh beberapa faktor utama yang saling berkaitan. Konflik berterusan di Ukraine yang melibatkan Rusia, ketegangan serantau di Timur Tengah melibatkan Israel dan negara jiran, serta pertikaian keselamatan di Asia Timur seperti isu Taiwan, telah mendorong negara-negara untuk meningkatkan keupayaan pertahanan mereka.

Bukan itu sahaja, ketidakpastian terhadap komitmen kuasa besar seperti Amerika Syarikat dalam mempertahankan sekutu-sekutunya turut mencetuskan keperluan untuk persediaan sendiri.

Ancaman keselamatan dalaman dan ketidaktentuan politik domestik di negara-negara seperti Myanmar dan Mexico juga menjadi antara pendorong utama di sebalik peningkatan mendadak bajet ketenteraan di peringkat global. -airtimes.my

#Airtimes #Pertahanan #Ketenteraan #Global

Related Articles

Leave a Reply